Polis Melaka rampas 700 mesin Bitcoin curi elektrik

11/02/2021 04:50 PM

ALOR GAJAH, 11 Feb — Polis Melaka merampas sebanyak 700 unit pelayan digunakan bagi menjalankan aktiviti melombong wang kripto jenis Bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik di sebuah rumah kedai dua tingkat di Pusat Perniagaan Pulau Sebang di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata kegiatan haram yang dipercayai dijalankan sejak dua bulan lepas menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian kira-kira RM648,000.

Beliau berkata seorang lelaki berumur 35 tahun turut ditahan di sekitar kawasan rumah kedai itu bagi membantu siasatan lanjut yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan TNB kira-kira 3.30 petang.

"Ketika serbuan dilakukan, tiada penjaga atau pemilik premis dikesan berada di dalam atau sekitar bangunan itu dan polis terpaksa memecah masuk untuk pemeriksaan lanjut dan menemukan sejumlah 700 unit pelayan di tingkat dua premis itu selain pelbagai perkakasan elektronik yang disambung pada bekalan elektrik secara tidak sah bagi menjalankan aktiviti melombong bitcoin.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan TNB, nilai penggunaan elektrik untuk kegiatan ini mencecah RM324,000 sebulan namun bil yang didaftarkan di bawah premis ini hanya perlu membayar lebih kurang RM10 sebulan sahaja," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Sukri Kaman dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu.

Mengulas lanjut, Shahrul Lalli berkata aktiviti berkenaan dikesan TNB menerusi pencawang padat miliknya yang dipasang berhampiran premis tersebut.

Beliau berkata kawasan rumah kedai berkenaan masih belum beroperasi sepenuhnya dan bahagian dalam premis terlibat telah diubah suai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, siasatan lanjut daripada pelbagai aspek termasuk dalang aktiviti itu masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 11 warga Indonesia termasuk dua tekong ditahan dalam cubaan masuk dan keluar dari negara ini menerusi laluan air di bawah Op Benteng yang dijalankan di perairan Kuala Sungai Baru di sini, kira-kira 2 pagi pada Selasa lepas.

"Dalam operasi ini, dua tekong dan tujuh warga Indonesia yang menaiki bot berada di pesisir pantai Kuala Linggi untuk memasuki negara ini manakala dua lagi sedang menunggu untuk keluar dari negara ini.

"Mereka menaiki bot tetapi berjaya dipintas Pasukan Polis Marin yang terlibat dalam operasi itu hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan," katanya sambil menambah suspek berumur 21 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Leave a Reply

%d bloggers like this: