Lelaki ditahan bersama 3.051 kg ketamin bernilai RM167,805

11/02/2021 09:12 PM

KEPALA BATAS, 11 Feb — Polis menahan seorang pengedar dadah dan merampas ketamin seberat 3.051 kilogram (kg) bernilai RM167,805 dalam serbuan di sebuah rumah di Mak Mandin, Butterworth dekat sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menyerbu rumah yang dijadikan stor menyimpan dadah itu dalam serbuan pada 3 petang dan menahan lelaki berumur 23 tahun yang sedang membungkus ketamin tersebut.

"Bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menyerbu rumah itu serta merampas 116 peket ketamin seberat 3.051 kg, siasatan mendapati lelaki tersebut menyewa kediaman berkenaan untuk dijadikan stor menyimpan bekalan dadah di situ.

"Lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket dalam kuantiti besar sebelum membungkusnya dan dia hanya menjual kepada pembeli terdiri daripada pelanggan tetap melalui panggilan telefon sahaja," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, semua dadah bernilai RM167,805 itu dipercayai untuk pasaran di sekitar Pulau Pinang dan siasatan mendapati lelaki tersebut terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tiga bulan lepas dan susulan penahanan lelaki itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Kia Sportage, sebuah kereta Perodua Myvi serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM62,000.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang tokan dadah di kawasan Sungai Dua, dekat sini ketika lelaki itu sedang menunggu pelanggannya untuk membeli dadah dan merampas syabu seberat 30 gram, pukul 3 pagi semalam.

"Lelaki berumur 36 tahun itu ditahan bersama 11 peket syabu bernilai RM3,000 dan siasatan mendapati dia terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas dengan menjadikan kawasan Sungai Dua serta Butterworth sebagai tempat mengedar bahan terlarang tersebut," katanya dan menambah lelaki itu turut positif dadah dan semua dadah yang dirampas dalam dua serbuan tersebut boleh digunakan lebih 2,000 orang.

Leave a Reply

%d bloggers like this: