New Zealand gantung hubungan politik, ketenteraan dengan Myanmar

09/02/2021 04:02 PM

ANKARA, 9 Feb — New Zealand pada Selasa menggantung semua hubungan politik dan ketenteraan dengan Myanmar susulan rampasan kuasa tentera di negara itu.

Menteri Luar Nanaia Mahuta dalam satu kenyataan berkata New Zealand tidak mengiktiraf pemerintahan tentera di Myanmar, lapor Agensi Anadolu.

"Kerajaan New Zealand prihatin dengan rampasan kuasa di Myanmar. Kami tidak iktiraf kerajaan yang dipimpin tentera dan meminta tentera segera membebaskan semua pemimpin politik yang ditahan dan pulihkan semula pentadbiran negara.

"Saya juga mengarahkan semua program bantuan New Zealand ke Myanmar tidak membabitkan projek yang memberi manfaat kepada pemerintahan tentera," kata Mahuta.

Kerajaan New Zealand juga mengenakan larangan perjalanan ke atas pemimpin tentera Myanmar.

"Selain itu, New Zealand turut bersama-sama negara lain yang menggesa Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat khas berhubung insiden di Myanmar. Kedaulatan undang-undang dan demokrasi rakyat Myanmar mesti dihormati," katanya.

New Zealand juga menyambut baik kenyataan G7 dan Majlis Keselamatan PBB yang mengecam rampasan kuasa tentera itu.

Leave a Reply

%d bloggers like this: