Korea Selatan, China berjaya turunkan ketumpatan zarah debu ultrahalus

10/02/2021 03:42 PM

SEOUL, 10 Feb — Paras ketumpatan zarah debu ultrahalus di udara menunjukkan penurunan ketara di Korea Selatan dan China berikutan kerjasama dua hala yang erat, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan bersama kedua-dua negara pada Rabu.

Menurut Kementerian Alam Sekitar Seoul dan Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar Beijing, ketumpatan zarah debu ultrahalus menurun sekitar 27 peratus di Korea Selatan dan 28 peratus di China pada 2020, berbanding parasnya pada 2015.

Kerajaan Seoul telah mengehadkan operasi kenderaan diesel, loji arang batu, tapak pembinaan dan pelepasan debu di bawah dasar pengurusan komprehensif yang dilancarkan semasa pemerintahan Moon Jae-in.

Di bawah polisi ini, tindakan seperti pembersihan di tepi jalan juga dipergiat dan bayaran letak kenderaan di tempat letak kenderaan awam dinaikkan sepanjang musim sejuk.

Jumlah agregat pencemaran udara berkaitan debu ultrahalus dari 60 loji jana kuasa arang batu di seluruh negara juga turun daripada 8,781 tan metrik pada Disember 2018 kepada 3,527 tan metrik pada Disember lepas.

Kerajaan China juga telah mengurangkan pelepasan loji janakuasa arang batu, kilang keluli dan kenderaan di bawah rancangan tindakan tiga tahun untuk memenangi perang langit biru.

Di peringkat kerajaan, kedua-dua negara telah mengadakan sebanyak 23 persidangan kerjasama alam sekitar dua hala sejak 1993.

Sejak 2015, kedua-dua negara juga berkongsi data pengukuran kualiti udara masa nyata.

Leave a Reply

%d bloggers like this: