Protes di Myanmar masuk hari ketiga, polis guna meriam air suraikan penunjuk perasaan

08/02/2021 05:52 PM

BANGKOK, 8 Feb — Puluhan ribu orang menyertai tunjuk perasaan di seluruh Myanmar kerana membantah rampasan kuasa tentera, yang kini memasuki hari ketiga, menyaksikan polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan, lapor Agensi Berita Sputnik.

Media tempatan pada Isnin melaporkan bantahan mula tercetus pada Sabtu lalu, apabila perkhidmatan internet di negara itu disekat sejak rampasan kuasa dan beberapa pemimpin utama negara ditahan.

Menurut Mizzima News, meriam air digunakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan di Nay Pyi Taw.

Portal Irrawaddy pula menyiarkan gambar dan video protes di bandar Yangon yang turut disertai golongan belia dan sami.

Minggu lalu, tentera Myanmar menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dan mengisytiharkan darurat selama setahun kerana mendakwa parti pimpinan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi melakukan penipuan pada pilihan raya baru-baru ini. Tentera turut menyekat media sosial dan internet di seluruh negara.

Penyedia perkhidmatan internet dan mudah alih Telenor pada Sabtu mengesahkan pihaknya telah diarahkan untuk menyekat akses internet. Akses internet di negara itu kini dilaporkan berada pada tahap 16 peratus.

Langkah itu dikatakan bertujuan untuk menghentikan tunjuk perasaan yang berlaku di Yangon pada pagi Sabtu.

Leave a Reply

%d bloggers like this: