Peraturan kuarantin Jemaah Menteri pulang dari lawatan rasmi dilonggarkan

09/02/2021 12:51 AM

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Jemaah Menteri yang pulang dari mana-mana lawatan rasmi luar negara dikecualikan daripada menjalani pemerhatian atau pengawasan selama 10 hari.

Perkara itu dinyatakan dalam warta Kerajaan Persekutuan terbaharu di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara hari ini.

“Tertakluk kepada perenggan 3, Menteri mengecualikan Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian Seksyen 15 Akta.

“Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai,” menurut warta itu.

Warta itu yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, menyatakan peraturan itu berkuat kuasa mulai esok sehingga 1 Ogos ini.

Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) memperuntukkan seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Kerajaan sebelum ini memendekkan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas prosedur pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif COVID-19 daripada 14 kepada 10 hari.

Leave a Reply

%d bloggers like this: