Masyarakat antarabangsa digesa sekat kepentingan ekonomi tentera Myanmar

08/02/2021 08:28 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa perlu bertindak terhadap tentera Myanmar dengan mengenakan sekatan terhadap syarikat yang dimiliki dan dikawal tentera.

Pengasas dan pengarah Burma Human Rights Network (BHRN), Kyaw Win, berkata masyarakat antarabangsa perlu segera bertindak mengenakan ‘sekatan bersasar’ berikutan rampasan kuasa tentera di Myanmar baru-baru ini.

"Negara ASEAN juga perlu mengambil langkah (sekatan yang menyasarkan kepentingan ekonomi tentera Myanmar).

"Ini sangat penting kerana masyarakat Burma meletakkan harapan tinggi sama ada masyarakat antarabangsa dan ASEAN akan bertindak mengenai isu (rampasan kuasa tentera)," katanya ketika diwawancara dalam program Bernama TV hari ini.

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada Isnin minggu lalu dan menahan Penasihat Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint dan anggota kanan lain parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Pihak tentera turut mengumumkan darurat selama setahun di negara itu, dan berikrar untuk "mengambil tindakan" terhadap tuduhan penipuan pengundi semasa pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi parti NLD.

Mengulas lanjut, Kyaw Win berkata di saat mencabar ini penting bagi pemimpin ASEAN untuk bersama-sama rakyat Myanmar untuk melawan pemerintahan diktator tentera.

Beliau memuji usaha Malaysia dan Indonesia menggesa mesyuarat serantau diadakan untuk membincangkan insiden rampasan kuasa itu.

Di samping itu, Kyaw Win turut bimbang dengan keselamatan aktivis hak asasi manusia dan wartawan di Myanmar.

Leave a Reply

%d bloggers like this: