DBKL tutup hotel jalankan aktiviti tidak bermoral


FB DBKL

08/02/2021 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup serta-merta sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu di sini kerana menjalankan aktiviti tidak bermoral dalam premis berkenaan.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui operasi khas oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL tengah hari tadi, premis berkenaan didapati telah menyalahgunakan lesen.

"Menerusi aduan awam yang diterima, DBKL telah membuat siasatan dan risikan awal dan mendapati berlakunya aktiviti tidak bermoral di dalam premis berkenaan. Walaupun hotel tersebut mempunyai lesen yang sah namun tindakan menjalankan aktiviti tidak bermoral adalah menyalahi undang-undang dan peraturan pelesenan," menurut kenyataan itu, hari ini.

Sehubungan itu, DBKL mengeluarkan notis pemberitahuan tentang kesalahan di bawah Seksyen 29 Akta Hotel (WPKL) 2003 manakala tindakan penutupan serta-merta dilakukan di bawah Seksyen 18 Akta Hotel (WPKL) 2003 mengikut bidang kuasa dan prosedur operasi standard (SOP) DBKL.

"Hasil semakan di premis berkenaan, seramai tiga wanita warga Thailand yang disyaki pekerja seks, seorang pelanggan warga Bangladesh dan seorang warga tempatan sebagai penjaga premis tersebut telah diambil keterangan untuk proses dokumentasi selain turut menyita pelbagai peralatan di dalam premis seperti kondom dan minyak pelincir bagi tujuan aktiviti pelacuran," katanya sambil menambah operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, sebuah pasar raya yang menjual daging, ikan dan sayur di Jalan Hang Lekiu di sini diarah tutup selepas DBKL melalui Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar mendapati premis itu dikendalikan secara tidak bersih.

Menurut kenyataan itu pihaknya telah mengeluarkan Notis Perintah Penutupan di bawah Undang-Undang Kecil 28(1) Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 berkuat kuasa esok.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan berada dalam keadaan kotor dengan lantai dinding di keseluruhan kawasan penyediaan makanan berdaki hitam dan berminyak serta diselaputi lemak.

"Premis itu juga tidak mempunyai perangkap minyak bahkan semua air cucian atau air limbah termasuk sisa atau darah daripada aktiviti memotong dan menyiang dialirkan ke dalam longkang awam," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan secara keseluruhannya, premis tersebut didapati gagal untuk mematuhi semua kehendak kesihatan yang ditetapkan sebagai premis yang menjalankan perniagaan menyedia dan memproses makanan.

"Peralatan yang digunakan dalam penyediaan makanan tidak dijaga bersih, tidak diselenggara dengan baik dan dalam keadaan kotor berdaki. Pekerja di premis perniagaan tersebut juga tiada suntikan tifoid selain terdapat lipas yang banyak di setiap bahagian premis termasuk pada perkakasan, peralatan dan kabinet," katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: