Sokong, edar barangan berkaitan Daesh, penjual cendol dipenjara 16 tahun


Hukuman terhadap Nahzatulazran A Rahman bermula dari tarikh tangkap pada 10 Sept 2017. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang penjual cendol dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan, antaranya memiliki dan mengedar barangan berkaitan pengganas Daesh serta memberi sokongan kepada kumpulan itu, empat tahun lepas.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Nahzatulazran A Rahman, 42, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan Nahzatulazran menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 10 Sept 2017.

Bagi tiga pertuduhan memberi sokongan kepada Daesh, Muhammad Jamil menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak.

Bagi dua pertuduhan memiliki item, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak.

Sementara itu, bagi empat pertuduhan mengedar item berkaitan pengganas, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak.

Mahkamah kemudian memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan berasingan menjadikan keseluruhan hukuman penjara selama 16 tahun.

Bagi tiga pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daesh, lelaki itu didakwa mempromosi kumpulan pengganas terbabit, antaranya melalui pengedaran bendera, kain berwarna putih dan hijau muda dengan tulisan Jawi kepada tiga individu.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan tersebut.

Sementara, bagi dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan Daesh, dia didakwa memiliki satu helai bendera berwarna putih, dua papan berukir kalimah dalam Bahasa Arab, dua bingkai gambar, gambar-gambar dan video berkaitan kumpulan pengganas itu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucutkan hak ke atas barang-barang tersebut.

Sementara bagi empat pertuduhan mengedar item berkaitan Daesh, Nahzatulazran didakwa mengedar sehelai bendera hijau bertulisan hitam, empai helai bendera hitam dan dua helai kain berwarna putih serta hijau mengandungi tulisan Jawi kepada beberapa individu, mengikut Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya sekitar kampung di Melaka Tengah, dan di sebuah rumah di Kepong di sini, pada Januari hingga September 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman dan Mohd Farhan Aliff Ahmad, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dan pencegahan kepada orang awam, agar tidak terikut dengan fahaman pengganas.

“Pihak pendakwaan juga memohon hukuman penjara lebih panjang, bagi membolehkan tertuduh menjalani rehabilitasi di penjara kerana fikirannya sangat cenderung kepada ideologi kumpulan pengganas itu, sehingga seorang saksi menyatakan tertuduh pernah mengajaknya berjihad ke Marawi, Filipina.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira faktor keselamatan negara yang terjejas, ekoran perbuatan tertuduh ini,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Usha Kulasegaran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai seorang isteri dan anak selain telah insaf atas perbuatannya.

Seramai 16 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh, dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula pada Februari 2020.

Leave a Reply

%d bloggers like this: