Pasangan Orang Asli larikan diri jalani saringan COVID-19 berjaya dikesan


Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat

07/02/2021 12:28 PM

KOTA BHARU, 7 Feb — Pasangan suami isteri Orang Asli yang menghilangkan diri daripada menjalani ujian saringan COVID-19 di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, pada 4 Feb, akhirnya ditemukan semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata pasangan itu ditemukan selepas anggota daripada Balai Polis Laloh menerima maklumat daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengenai pasangan berkenaan, kira-kira pukul 5.30 petang.

Beliau berkata susulan daripada maklumat yang diterima sepasukan anggota berjaya mengesan dan menemukan pasangan itu di sebuah pondok sekitar Sungai Sam, Gua Musang.

"Pasangan Orang Asli itu telah beri kerjasama yang baik kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke HSIP bagi menjalani ujian saringan COVID-19 seterusnya menjalani kuarantin sehingga keputusan diperoleh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan pasangan suami isteri Orang Asli yang berasal dari Pos Tohoi, Gua Musang itu bertindak menghilangkan diri ketika ujian saringan COVID-19 hendak dilakukan ke atas mereka, pada Khamis lepas.

Difahamkan, ujian saringan itu perlu dijalankan selepas anak perempuan mereka yang berusia 25 hari disahkan positif COVID-19.

Leave a Reply

%d bloggers like this: