Kemboja lancar program latihan suntikan vaksin buatan China

05/02/2021 10:34 PM

PHNOM PENH, 5 Feb — Kemboja pada Rabu melancarkan program latihan suntikan vaksin COVID-19 yang dihasilkan China, di Hospital Preah Ket Mealea.

Duta China ke Kemboja, Wang Wentian dalam ucaptamanya pada majlis perasmian itu berkata program berkenaan menandakan kerjasama China dan Kemboja bagi melawan wabak kini telah memasuki fasa baharu.

Wang, yakin usaha sama tersebut membantu melancarkan lagi program pemvaksinan di Kemboja sekali gus mendorong negara itu memenangi perjuangan melawan wabak dan dapat mempercepat pemulihan pembangunan sosioekonomi.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Tea Banh berkata pihaknya berterima kasih atas sumbangan China termasuk pemberian vaksin dan bantuan dalam perlaksanaan latihan pemvaksinan kepada kakitangan perubatan.

Beliau merangkap Menteri Pertahanan Kemboja itu turut berharap kakitangan perubatan ketenteraan pelbagai peringkat dapat menguasai kemahiran dalam penjagaan dan penggunaan vaksin secepat mungkin bagi memastikan kelancaran program pemvaksinan tersebut.

Menurut rekod, kumpulan pakar perubatan ke-16 ketenteraan China akan menawarkan latihan vaksinasi kepada lebih 150 kakitangan perubatan ketenteraan Kemboja bermula kelmarin (Rabu).

Latihan itu sebagai persiapan awal sebelum vaksin China dihantar ke Kemboja dalam masa terdekat.

Turut hadir dalam majlis pelancaran itu Menteri Kesihatan Kemboja, Mam Bunheng.

Leave a Reply

%d bloggers like this: