ROY AKUI MULA BERHADAPAN PANDANGAN SERONG SELEPAS BEBAS COVID-19

"Orang jadi takut apabila nampak saya dan turut menjauhkan diri. Saya masuk kedai pun ada yang bertindak menjauhkan diri dan enggan layan. Walaupun pakai pelitup muka mereka tetap kenal saya. Sampai begitu sekali kesannya.

"Jadi bayangkan sekiranya restoran kami diboikot, bagaimana saya nak bayar sewa, bayar gaji pekerja kalau pelanggan tak nak datang?" demikian kata penyanyi, Roy, 57, yang mengakui dia mula berhadapan pandangan serong segelintir masyarakat terhadapnya selepas bebas Covid-19.

Kata penyanyi lagu ‘Ratnaku’ dan bekas peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6) itu, dia tinggal di kawasan kampung dan Covid-19 adalah satu isu besar.

"Saya tak ramai kawan di luar dan tujuan tulis di Facebook nak minta peminat mendoakan saya. Tak sangka ia jadi cerita yang besar pula. Tapi tak mengapalah, sekurang-kurangnya orang mendoakan saya dan sekarang saya dah sembuh.

"Apapun saya bertawakal kepada Allah sama ada orang nak datang atau tidak ke restoran selepas ini. Kami akan beroperasi seperti biasa apabila semuanya selesai," tuturnya.

Sebelum ini, Roy yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh akibat dijangkiti Covid-19 tahap empat disahkan bebas virus itu dan dibenarkan keluar petang semalam.

Turut disahkan positif virus itu sebelum ini ialah isterinya, Haslinda Abdul Rahman, 56, manakala dua anak mereka negatif. Mereka kini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Maeps, Serdang.

Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

Berkongsi pengalamannya, Roy meminta supaya masyarakat ada kesedaran mengenai Covid-19 dan jangan pentingkan diri dalam menangani virus itu yang mempunyai tahap tertentu.

"Saya sendiri mulanya tak tahu Covid-19 ada lima tahap. Jika mengalami sesak nafas, kenalah berjaga-jaga. "Saya mengalami batuk sehingga rasa nak pecah dada.

"Selain Covid-19, saya juga ada jangkitan kuman pada paru-paru dan ia memburukkan lagi keadaan. Syukurlah saya kini selamat. Terima kasih kepada yang mendoakan dan hargailah kesihatan anda sebaiknya," jelasnya.

Walaupun sudah dibenarkan keluar hospital, Roy kini membuat keputusan menginap di hotel buat sementara waktu. Keputusan itu dibuat berikutan adik ipar perempuan kini berada di rumahnya di Banting.

"Isteri dan anak-anak di PKRC. Jadi, kalau saya balik ke rumah sekarang, ia kurang manis. Saya sedang menunggu salah seorang anak saya keluar dari PKRC dan barulah saya balik rumah. Mungkin esok dia boleh keluar," katanya.

Ketika mula dirawat di hospital, Roy pada mulanya mahu merahsiakan dia menghidap Covid-19 kerana bimbang perniagaan restoran yang diuruskan isterinya terjejas.

"Anak-anak saya lepasan universiti, tapi sanggup berkorban membantu ibu mereka. Itu punca rezeki mereka. Saya kasihankan mereka sekiranya restoran tiada sambutan," katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: