China bekal 10 juta vaksin untuk negara membangun

04/02/2021 03:32 PM

BEIJING, 4 Feb — China akan membekalkan 10 juta dos vaksin COVID-19 kepada program pengedaran vaksin antarabangsa (COVAX) atas permintaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memenuhi keperluan kecemasan negara-negara membangun.

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam satu sidang akhbar pada Rabu berkata, ia merupakan antara langkah penting China untuk mendorong pengagihan vaksin secara adil, memperkasa kerjasama antarabangsa melawan wabak dan mengamalkan konsep komuniti berkongsi nasib dalam bidang kesihatan.

Sementara itu, Wang turut menyatakan bahawa China telah menyertai COVAX secara rasmi dan mengekalkan interaksi rapat dengan pihak penganjur termasuk WHO.

Jelasnya, kedua-dua pihak akan berusaha bersama-sama memastikan vaksin dapat dijadikan produk awam global mampu milik bagi negara-negara membangun.

Wang berharap negara berkemampuan bersama-sama menyokong COVAX dan usaha WHO untuk membantu negara membangun mendapatkan vaksin di samping memberi sumbangan sewajarnya bagi masyarakat antarabangsa untuk mengatasi wabak COVID-19 seawal mungkin.

Dalam perkembangan lain, WHO turut memaklumkan telah memulakan semakan semula bagi memberi kebenaran penggunaan kecemasan terhadap vaksin buatan China.

Menurut WHO, pihaknya telah menerima kerjasama aktif daripada syarikat-syarikat China.

Leave a Reply

%d bloggers like this: