Bakal ada sinar buat penggiat sukan, rekreasi – Reezal Merican


Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

02/02/2021 11:14 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meluahkan keyakinan bahawa bakal ada sinar buat penggiat sektor sukan dan rekreasi dalam masa terdekat, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 18 Feb.

Beliau berkata isu mengenai sektor tersebut telah dibawa ke mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi.

Reezal Merican berkata perkara itu berpandukan saranan serta cadangan daripada penggiat serta pemain industri, termasuk hasil sesi libat urus beliau bersama komuniti industri sukan minggu lalu.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang cukup memahami perkara ini dan insya-Allah, prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian sedang dibincang untuk disesuaikan dalam suasana PKP ini. Saya letakkan keyakinan bahawa penggiat dan pemain sektor sukan ini sebenarnya cukup teliti dan patuh kepada peraturan atau SOP.

“Insya-Allah, saya menjangkakan ada sinar buat kita semua dalam masa terdekat. Jaga diri dan jaga keselamatan kita. Bersama kita putuskan rantaian COVID-19,” katanya menerusi catatan terbaru di Facebook rasminya.

Mengulas lanjut, beliau memberi fokus kepada tiga perspektif ketika membahaskan isu itu, termasuk soal kepatuhan para penggiat serta pemain sektor sukan dan rekreasi terhadap SOP sehingga kes melibatkan tersebut hampir tiada.

“Kedua, soal kebergantungan pendapatan sebahagian rakyat yang melibatkan aktiviti sukan seperti pengusaha fasiliti sukan komersial dan ketiga soal sukan perlu dilihat sebagai ekosistem ekonomi yang cukup besar dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti sukan semata-mata.

“Sukan sebagai industri membawa pelaburan komersial yang bernilai tinggi termasuklah penajaan korporat, penyiaran dan kandungan siaran dengan ‘eye ball’ yang cukup tinggi serta penjualan dagangan yang melibatkan kejohanan utama seperti MFL (Liga Bola sepak Malaysia), STL (Liga Sepak Takraw) dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak, yang dijadualkan berakhir pada Khamis ini, dilanjutkan dua minggu lagi berikutan trend peningkatan kes COVID-19 di semua negeri.

Leave a Reply

%d bloggers like this: