Polis tahan pengutip hutang ugut peminjam wang


ACP Nik Ezanee Mohd Faisal (Gambar fail)

01/02/2021 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb — Polis menahan seorang lelaki disyaki anggota sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ‘ah long’ kerana mengugut seorang peminjam dalam satu serbuan di Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihaknya menerima laporan bahawa suspek mengugut peminjam agar melunaskan hutang melalui pesanan Whatsapp pada 14 Dis lepas.

“Laporan dibuat mangsa berumur 46 tahun yang mengakui membuat pinjaman wang sejumlah RM12,000 daripada seorang lelaki berumur 57 tahun bermula Ogos lepas.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengingati jumlah yang pernah dibayar kepada lelaki tersebut. Mangsa turut diganggu menerusi pesanan Whatsapp daripada suspek yang meminta agar membayar RM5,000 selain mengancam keselamatan mangsa dan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, siasatan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah yang telah selesai dihadapkan ke mahkamah.

Beliau berkata suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Leave a Reply

%d bloggers like this: