COVID-19: Thailand catat 836 kes baharu, sifar kematian


Dr Apisamai Srirangsan

01/02/2021 05:12 PM

BANGKOK, 1 Feb — Thailand mencatat 836 kes baharu COVID-19 dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu setakat ini ialah 19,618 dengan 77 kematian.

Penolong Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada jumlah kes baharu itu, 793 adalah jangkitan tempatan dengan 782 dikesan di Samut Sakhon, enam di Maha Sarakham dan lima di Bangkok manakala 39 kes merupakan individu yang mendapatkan rawatan di hospital.

Beliau berkata empat lagi adalah kes import termasuk dua rakyat Thailand yang kembali dari Malaysia.

Apisamai juga berkata langkah pengesanan kes aktif di kilang, asrama pekerja, pasar dan komuniti di Samut Sakhon, yang merupakan pusat penularan terkini pandemik itu di Thailand, akan diteruskan.

“Secara purata, kira-kira 7 peratus daripada jumlah keseluruhan pengesanan kes aktif di Samut Sakhon didapati positif virus itu,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Apisamai berkata penularan terkini di negara itu pada pertengahan Disember tahun lepas menyaksikan sejumlah 14 wilayah masih bebas daripada COVID-19 manakala 42 lagi belum melaporkan kes baharu selama lebih tujuh hari.

Sementara itu, sistem AiMASK Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Kebangsaan Thailand (NSTDA) mendapati 97.53 peratus rakyat memakai pelitup muka dengan betul dan 1.42 peratus memakainya di bahagian dagu mereka manakala 1.05 peratus langsung tidak memakainya.

Sistem itu menggunakan CCTV serta perisian pengecaman wajah untuk menilai tahap penggunaan pelitup muka oleh rakyat di tempat awam dan penilaian itu dikendalikan di 15 daerah di Bangkok dari 21 hingga 27 Jan.

Leave a Reply

%d bloggers like this: