Neelofa lancar aplikasi gaya hidup Islamik, penuhi gaya hidup muslim seluruh dunia


© Provided by Free Malaysia Today Neelofa terus melangkah terokai bidang teknologi digital. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon Neelofa memilih untuk menerokai bidang pembangunan digital sebagai cabang bisnes baharunya.

Baru-baru ini dia telah melancarkan aplikasi gaya hidup Islamik perdana dikenali sebagai TheNoor, menerusi syarikat Noor Luminous Sdn Bhd.

Aplikasi ini dilengkapi ciri-ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat dan lokasi masjid berdekatan. Malah, ia turut menawarkan fungsi tafsir al-Quran dalam lima bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Indonesia.

Selaku Ketua Pegawai Eksekutif Noor Luminous Sdn Bhd, Neelofa berkata TheNoor adalah aplikasi semua dalam satu yang mampu memenuhi keperluan gaya hidup Muslim di seluruh dunia.

Menurutnya, pembangunan aplikasi TheNoor yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik untuk menjadi ‘pembantu maya’ buat masyarakat Muslim dalam melaksanakan tugas harian dengan mudah dan pantas.

Katanya lagi, bahagian tafsir al-Quran didatangkan dengan lima bahasa termasuk tiga bahasa utama di Malaysia. Malah, turut merancang menambah bahasa lain seperti bahasa Turki, Perancis, Sepanyol, Urdu dan Hindi.

“Alhamdulillah, selepas lebih enam bulan dirancang, kami dengan bangganya melancarkan aplikasi TheNoor yang boleh dinikmati oleh semua masyarakat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Menurut Neelofa, proses rakaman terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu adalah satu pengalaman yang sukar untuk digambarkan dan ia mengambil masa lebih kurang 20 hari.

“Setiap kali proses rakaman, hati saya pasti tersentuh apabila membaca berulang kali kalimah Allah. Satu perasaan yang sukar untuk saya jelaskan. Ia pengalaman yang cukup bermakna dan luar biasa. Apabila selesai rakaman hati saya pasti berasa tenang serta lega,” katanya.

Menurut Pengerusi Eksekutif Noor Luminous Sdn Bhd, Ahmad Tajuddin Idris, aplikasi TheNoor juga bakal menjadi platform sehenti perniagaan dalam talian yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang menepati syariah.

Leave a Reply

%d bloggers like this: