KINI ISTERI, ANAK SULUNG ROY PULA POSITIF COVID-19

Jika sebelum ini anak bongsu, Siti Aishah, 23, dan adik ipar, Rahayu Abdul Rahman, 49, positif COVID-19 semalam, terkini isteri, Haslinda Abdul Rahman, 56, serta anak sulung penyanyi Roy, 57, iaitu Mohammad Ridhwan, 33, pula disahkan mendapat jangkitan virus berkenaan pagi tadi.

Haslinda berkata, dia dan anak sulung disahkan dijangkiti wabak tersebut selepas dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, hari ini.

"Sekarang, kami sedang menjalani kuarantin di rumah dan menunggu Kementerian Kesihatan untuk datang memotong gelang dan menggantikannya dengan yang baru," katanya.

Mengulas bagaimana jangkitan tersebar, Haslinda tidak pasti kerana jarang keluar rumah. Bagaimanapun, dia akur dengan ujian berkenaan.

"Saya tak tahu macam mana kami sekeluarga boleh dijangkiti COVID-19. Kalau nak kena, elak macam mana pun tetap terkena. Mungkin disebabkan saya buka kedai makan, mungkin ada di kalangan pelanggan sudah dijangkiti virus tanpa disedari.

Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

"Bagaimanapun, setiap pelanggan yang datang semuanya diperiksa suhu badan. Jadi, saya boleh katakan demam bukan lagi simptom utama jangkitan ini. Bagaimanapun, saya ada mengalami demam dan hilang deria bau, baru-baru ini. Tapi, sekarang semuanya semakin baik," tuturnya.

Oleh sebab itu, Haslinda memohon orang ramai untuk terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan jangkitan virus tersebut.

Sementara itu, berkongsi perkembangan terkini suaminya, Haslinda berkata, Roy kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.

"Roy ada menghubungi saya semalam dan menerusi percakapannya, kedengaran semakin baik. Tetapi, dia masih ditahan di ICU. Saya mohon doakan kami sekeluarga," jelasnya.

Awalnya, penyanyi ‘Ratnaku’ itu dirawat di Hospital Banting akibat sesak nafas, selain dijangkiti kuman dalam paru-paru pada minggu lalu. Bagaimanapun, Roy dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh apabila disahkan positif COVID-19, Selasa lalu.

Leave a Reply

%d bloggers like this: