PSM tunggu keputusan sepak takraw kembali jadi sukan teras


Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail

28/01/2021 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan — Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih menunggu keputusan berhubung jaminan diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), untuk sukan sepak takraw kembali disenarai sebagai antara sukan teras di negara ini, kata Presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail.

Beliau berkata jaminan diberikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada September lepas, disambut baik peminat sukan tradisional itu termasuk guru-guru di sekolah yang menerima tamparan, selepas sepak takraw dikeluarkan daripada senarai sukan teras negara pada 2017.

Jelasnya sejak dikeluar daripada senarai sukan teras, usaha memperkasa sukan berkenaan di peringkat akar umbi melalui Pusat Latihan Negeri (PLN) dan Pusat Latihan Daerah (PLD), tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan sekali gus memberi tekanan kepada pihak terlibat.

“Apabila sepak takraw tidak berada dalam senarai sukan teras, PLN dan PLD telah ditutup dan ia merupakan antara kilang-kilang yang melahirkan atlet sepak takraw negara sebelum ini. Kita takut satu hari nanti kita kekurangan bakat dalam sukan ini.

“Perkara ini juga satu tekanan kepada guru dan pihak sekolah, kerana mereka tiada bajet untuk menyertai kejohanan antarabangsa. Jadi, memang ramai guru mengalu-alukan jaminan diberikan menteri dan kita (PSM) terima maklum balas sangat positif, daripada mereka,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Menurut Ahmad Ismail, kemajuan sukan sepak takraw negara bermula seawal di peringkat sekolah, dan tersenarainya kembali sukan rakyat itu sebagai antara sukan teras negara, mampu menjamin mutu serta kelestarian kualiti pasukan negara di persada dunia.

“Kalau lihat mutu permainan (pasukan negara) yang meningkat ketika ini adalah hasil daripada situ (sekolah), ia merupakan klinik yang melahirkan ramai pemain berbakat. Kalau betul kita nak tengok sukan sepak takraw negara boleh dibanggakan di persada dunia, maka ia wajib dimasukkan semula,” katanya.

Malaysia menamatkan kemarau 24 tahun pingat emas temasya Sukan Asia, selepas trio negara di bawah bimbingan jurulatih Abdul Talib Ahmad, menewaskan Indonesia dalam acara antara regu pada edisi 2018 di Palembang.

Sementara itu, Ahmad Ismail mengakui keadaan semasa pandemik COVID-19 mungkin menjadi faktor kelewatan keputusan menyenaraikan kembali sukan itu, apabila beberapa mesyuarat berhubung perkara berkenaan terpaksa dibatalkan.

“Malah kita sebenarnya menunggu mesyuarat jawatankuasa kerja bersama MSN (Majlis Sukan Negara) pada bulan depan, tetapi saya juga tidak pasti sama ada ia boleh dijalankan atau tidak. Tetapi apa yang pasti menteri akan mengotakan janjinya, saya mempunyai keyakinan penuh terhadap beliau,” jelasnya.

KBS sebelum ini memberi jaminan akan menimbang secara serius untuk mengembalikan sukan sepak takraw sebagai antara sukan teras negara, memandangkan sukan itu mempunyai tempat istimewa dalam kalangan rakyat dan hampir segenap masyarakat bermain sukan itu.

Sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo merupakan tiga sukan digugurkan MSN daripada senarai sukan teras negara pada 2017, berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan peningkatan berdasarkan semakan semula, termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan itu sejak 2007.

Sebagai rekod, Program Sukan Teras bermula pada 2005 dengan tujuan menambah penyertaan atlet dalam lapan sukan yang disenaraikan ketika itu – olahraga, akuatik – renang dan terjun, boling, bola sepak, badminton, hoki, skuasy dan gimnastik.

Tiga tahun kemudian, MSN menambah 11 jenis sukan lagi – memanah, berbasikal, boling padang, karate, silat, menembak, sepak takraw, taekwondo, pelayaran, angkat berat serta wushu sekali gus menjadikan keseluruhan 19 sukan teras.

Leave a Reply

%d bloggers like this: