COVID-19: Kes Aktif 5,725 ; Jumlah Kumulatif 203,933 Kes


–fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

29/01/2021 09:18 PM

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 23 Jan hingga pukul 8:30mlm 29 Jan 2021.

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia melebihi 200 ribu. Di peringkat global, lebih 102 juta kes dilaporkan dengan lebih 2.2 juta kematian. Lebih 73 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR (Bernama) — Gelombang Ketiga pandemik COVID-19 yang membadai Malaysia sejak 20 September 2020 ternyata semakin mengganas dengan rekod kes kumulatif sudah melepasi paras 200,000 ribu.

Dengan kes harian baharu diumumkan pada Jumaat 29 Januari memecah rekod tertinggi sebanyak 5,725 kes, jumlah keseluruhan kes dalam negara kini melonjak kepada 203,933 kes.

Malaysia kini menanggung beban 45,478 kes aktif dengan kebolehjangkitan. Setakat hari ini, 29 Januari, terdapat 375 kluster aktif termasuk 12 kluster baharu.

Dua hari sebelum genap setahun koronavirus maut, COVID-19 membadai Malaysia pada 25 Januari 2020, negara mencatat kes harian baharu 4,275 kes (23 Januari 2021). Ini di samping catatan 4,094 pada 28 Januari, 4,029 kes pada 16 Januari dan 4,008 kes pada 20 Januari.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan coronavirus 2019 (COVID-19) hari ini (29 Januari 2021), daripada 5,725 kes baharu, sebanyak 5,718 kes adalah kes penularan dalam negara dan tujuh (7) adalah kes import (5 warganegara dan 2 bukan warganegara).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini membuat unjuran untuk tempoh 4 Januari-31 Mei 2021 iaitu kes harian antara 3,000 (minggu kedua Februari 2021), 5,000 kes sehari (minggu kedua April 2021) dan 8,000 sehari (minggu keempat Mei 2021).

Unjuran tersebut berdasarkan R naught (RO) 1.1. RO merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan wabak dalam masyarakat.

Pada permulaan Gelombang ketiga (23 September 2020), Malaysia mencatat 147 kes baharu, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 10,505 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 770 kes. Malaysia mula mencatat kes harian baharu empat angka pada 24 Oktober 2020 iaitu 1,228 kes, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 25,742 kes. Jumlah kes dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 8,966 kes.

Malaysia kini berada di tangga 55 (rangkuman mingguan 16 Jan-22 Jan di tangga 58) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19, memintas Costa Rica (192,637 kes), Ireland (192,645 kes) dan Denmark (197,208 kes). Berada di hadapan Malaysia adalah Tunisia dengan 204,351 kes.

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga 83 dengan 89,378 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga 93 dengan 59,449 kes.

Untuk rekod, kes baharu harian sepanjang rangkuman mingguan (23 Jan-29 Jan) adalah 4,275 kes (23 Jan), 3,346 kes (24 Jan), 3,048 kes (25 Jan), 3,585 kes (26 Jan), 3,680 kes (27 Jan), 4,094 kes (28 Jan) dan 5,725 (29 Jan).

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang kini meliputi seluruh negara kecuali Sarawak.

PKP2.0 dijadualkan berakhir pada 4 Februari depan.

Dr Noor Hisham Abdullah pada 14 Januari lalu berkata, usaha melandaikan lengkungan jangkitan COVID-19 dijangka menunjukkan hasil menjelang Mei atau Jun 2021, dengan sasaran kes baharu berlegar antara 500 hingga 1,000 kes sehari.

BEBAN KLUSTER TERUS MENINGKAT

Sehingga Jumaat 29 Januari 2021, KKM mengumumkan sebanyak 791 kluster dilaporkan di negara ini termasuk 12 kluster baharu (10 kluster tempat kerja dan dua kluster komuniti).

Daripada jumlah tersebut, 416 kluster diisytihar tamat dan jumlah kluster yang masih aktif dan dipantau adalah 375.

Hari ini sebanyak 89 kluster dilaporkan mencatat pertambahan kes baharu dan yang merekod kes baharu tertinggi adalah Kluster Tanjung Suria (385 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (224 kes) dan Kluster Penjara Sungai Jelok (116 kes).

Kluster Tanjung Suria yang melibatkan saringan tempat kerja dua (2) buah kilang pertama kali diumumkan pada 13 Disember 2020, melibatkan daerah Sepang, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak di Selangor.

Kluster Penjara Jalan Harapan diumumkan pada 21 November 2020, melibatkan Penjara Sungai Buloh, Selangor iaitu hasil saringan kemasukan tahanan ke penjara.

Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok dilaporkan pada 19 Januari 2021, hasil saringan bersasar di Penjara Wanita Kajang.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu sepanjang 23 Jan – 29 Jan adalah 11 kluster (23 Jan), 9 kluster (24 Jan), 13 kes (25 Jan), 7 kes (26 Jan), 17 kluster (27 Jan), 9 kluster (28 Jan) dan 12 kluster (29 Jan).

Kluster Tempat Kerja (KTK) masih membelenggu negara pada setiap hari laporan perkembangan kes COVID-19 di negara ini, berikutan saringan yang dijalankan ke atas pekerja asing khususnya warga asing di kilang dan tapak binaan, yang bermula sejak 1 Disember 2020.

Secara perinciannya, daripada 11 kluster yang dilaporkan pada 23 Januari, lapan (8) adalah KTK; pada 24 Januari, lapan (8) daripada sembilan (9) kluster baharu adalah KTK; pada 25 Januari, lapan (8) daripada 13 kluster baharu adalah KTK; pada 26 Januari, tiga (3) daripada tujuh (7) kluster baharu adalah KTK; pada 27 Januari, 15 daripada 17 kluster baharu adalah KTK dan pada 28 Januari, lima (5) daripada sembilan (9) kluster baharu adalah KTK.

Sementara KKM dalam laporan berasingan menyebut, terdapat 30 kluster rentas negeri bermula 7 Dis 2020 hingga 27 Jan 2021 yang melibatkan 3,231 kes positif. Negeri Kelantan merekodkan kluster rentas negeri tertinggi dengan 8 kluster, Pahang (7) dan Terengganu (5).

Antara KTK yang melaporkan kes positif yang banyak semasa ujian saringan dijalankan adalah Kluster Tapak Bina Bali Residence pada 23 Januari, melibatkan daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah di Melaka (204 kes) ; Kluster Jalan Sebelas pada 24 Januari, di daerah Hulu Langat di Selangor melibatkan pekerja kilang (83 kes) ; Kluster Parit Lanjut pada 27 Januari, melibatkan daerah Muar, Johor iaitu saringan bersasar pekerja kilang (547 kes positif daripada 1,451 yang disaring) dan Kluster Industri Grisek di Tangkak dan Muar, Johor, melibatkan saringan bersasar pekerja kilang (145 kes posiitf daripada 537 individu yang disaring).

Sementara kluster yang melibatkan pusat tahanan, Kluster Tembok Bukit Besi, di daerah Dungun, Terengganu mengesan 99 kes positif daripada 1,131 individu yang disaring sehingga 26 Januari.

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA

Menurut laporan KKM untuk perincian 5,725 kes positif COVID-19 pada Jumaat 29 Januari, Selangor melaporkan jumlah kes tertinggi iaitu 3,126 kes. Daripada jumlah tersebut, 932 kes daripada kluster sedia ada, termasuk dua kluster baharu, Kluster Persiaran Subang dan Kluster Industri Indah; 1,627 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan 567 kes daripada saringan lain COVID-19.

WP Kuala Lumpur melaporkan 687 kes dengan dua kluster baharu, Kluster Tapak Bina Jalan Klang dan Kluster Tapak Bina Jalan Vista di samping enam (6) kes import.

Johor 684 kes dengan lima (5) kluster baharu – Kluster Jalan Kota Burok, Kluster Jalan By Pass, Kluster Jalan Bistari Dua, Kluster Jalan Empayar dan Kluster Jalan Rusa Scientex; Sabah 288 kes dengan dua kluster baharu, Kluster Tinanom dan Kluster Jalan Sepanggar; Sarawak 179 kes dan satu (1) kluster baharu, Kluster Tabong.

Terengganu 137 kes; Kedah 125 kes; Pulau Pinang 99 kes; Kelantan 93 kes; Melaka 74 kes; Perak 73 kes; Negeri Sembilan 69 kes; Pahang 67 kes; WP Putrajaya 16 kes; WP Labuan lima (5) kes; dan Perlis tiga (3) kes.

Sementara itu, KKM melaporkan sehingga Jumaat 29 Januari 2021, sebanyak 3,423 kes sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 157,722 kes (77.3 peratus).

Kes sembuh sepanjang 23 Jan – 29 Jan adalah 4,313 kes (23 Jan), 4,427 kes (24 Jan), 3,638 kes (25 Jan), 4,076 (26 Jan), 1,858 kes (27 Jan), 3,281 kes (28 Jan) dan 3,423 (29 Jan).

Sementara itu, seramai 301 pesakit COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, dan 115 kes daripadanya, memerlukan bantuan pernafasan.

Pada Rabu 27 Januari, seramai 314 orang diumumkan dirawat di Unit Rawatan Rapi, jumlah tertinggi setakat ini dan 122 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 16 kes kematian dilaporkan hari ini (29 Jan) iaitu sembilan (9) kes di Selangor, dua (2) kes di Sabah, dan masing-masing satu (1) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sarawak, Melaka, Kelantan, dan Perak. Jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 733 kes.

Kebanyakan kes pesakit yang meningal dunia akibat COVID-19 seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai komplikasi kesihatan, sebahagian besarnya penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung.

Kes kematian sepanjang tempoh rangkuman adalah 7 kes (23 Jan), 11 kes (24 Jan), 11 kes (25 Jan), 11 kes (26 Jan), 7 kes (27 Jan), 10 kes (28 Jan) dan 16 (29 Jan).

STATISTIK GLOBAL COVID-19

Angka keseluruhan kes global COVID-19 sudah mencapai 100 juta pada Rabu 27 Januari 2021. Angka ini melibatkan anggaran hampir 1.3 peratus penduduk dunia. Negara paling teruk dilanda pandemik ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia dan United Kingdom.

Setakat rangkuman mingguan (23 Jan-29 Jan), kes COVID-19 global sebanyak 102,132,746 kes ( minggu lalu 98,180,233 kes ) dengan 2,202,990 kematian ( minggu lalu 2,102,588 kematian). Jumlah pesakit sembuh 73,987,320 (minggu lalu 70,584,013 ).

Terdapat 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Itali, Turki dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 26,338,607 kes (443,769 kematian), India 10,720,971 kes (154,047 kematian), Brazil 9,060,786 kes (221,676 kematian), Rusia 3,813,048 kes (72,185 kematian), United Kingdom 3,743,734 kes (103,126 kematian), Perancis 3,130,629 kes (74,800 kematian), Sepanyol 2,792,360 kes (57,806 kematian), Itali 2,515,507 kes (87,381 kematian), Turki 2,457,118 kes (25,605 kematian) dan Jerman 2,194,562 kes (56,220 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 83 dengan 89,378 kes (rangkuman minggu lalu 88,804 kes) dan angka kematian 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina turut menyertai senarai 81 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19. Kenya negara terkini menyertai senarai ini dengan 100,422 kes.

Kes COVID-19 di Indonesia melepasi angka sejuta dengan catatan 1,051,795 kes (rangkuman minggu lalu 965,285 kes) dengan 29,518 kematian (minggu lalu 27,453 kematian), di tangga 19. Filipina di tangga 32 dengan 521,413 kes (minggu lalu 509,887 kes) dengan 10,600 kematian.

Myanmar minggu ini melaporkan 139,152 kes (minggu lalu 136,166 kes) dengan 3,103 kematian di tangga 71 sementara Singapura melaporkan sebanyak 59,449 kes (minggu lalu 59,250 kes) dan angka kematian kekal 29.

Thailand mencatat 17,023 kes (di tangga 120) berbanding 13,104 kes pada rangkuman minggu lalu dengan 76 kematian; Vietnam mencatat 1,657 kes (minggu lalu 1,546 kes) dan angka kematian kekal 35; Kampuchea mencatat 463 kes (minggu lalu 456 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara kes COVID-19 di Laos meningkat kepada 44 kes dan sifar kematian.

Leave a Reply

%d bloggers like this: