Usaha pemulihan ASEAN pasca COVID-19, teknologi digital main peranan besar

21/01/2021 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan — Pandemik COVID-19 telah mempercepat penembusan teknologi digital dalam semua aspek kehidupan dan akan memainkan peranan lebih besar kepada masyarakat ASEAN, ekonomi dan usaha pasca pemulihan, kata Timbalan Menteri Pos dan Telekomunikasi Laos Bounsaleumsay Khennavong.

"Kami gembira semasa pandemik ini sektor kami telah menjadi pemacu dan pemudah cara untuk sektor dan masyarakat meneruskan pekerjaan mereka seperti biasa dan menyumbang kepada masyarakat dalam menangani pandemik," katanya dalam ucapan pembukaannya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1), secara maya hari ini. Mesyuarat itu berakhir esok.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucaptama pada mesyuarat itu.

ADGMIN1 dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Khennavong berkata transformasi digital menjadi agenda utama ASEAN dan telah menyaksikan kemajuan besar yang diterajui TELMIN (Mesyuarat Menteri-Menteri Teknologi Telekomunikasi dan Maklumat).

“Sepanjang kepimpinan (Laos) sebagai pengerusi, kita telah menyaksikan banyak kemajuan dan agenda penting. Merangkumi kerangka tadbir urus data digital, pembangunan 5G ASEAN dan Jawatankuasa Penyelaras Keselamatan Siber ASEAN pertama,” katanya.

Negara itu mengambil alih peranan Pengerusi dalam TELMIN ke-19 di Vientianne, Laos pada 2019. Dalam pertemuan itu, para Menteri bersetuju TELMIN dinamakan semula sebagai Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN.

Dalam ucapannya, Khennavong juga berkata ASEAN telah membuat "satu pencapaian baik" dan asas yang lebih besar untuk mendorong rantau ini ke arah komuniti terhubung secara digital di bawah Pelan Induk ICT ASEAN (AIM 2020).

AIM 2020, rancangan transformasi digital lima tahun (2015-2020) untuk negara anggota ASEAN, akan dilanjutkan dengan Pelan Induk Digital ASEAN (ADM2025) yang akan dipersetujui pada ADGMIN1.

Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada pemimpin ADGMIN dan juga sektor ICT atas sokongan mereka kepada Laos selama 14 bulan terakhir di bawah kepimpinan negara itu.

"Kami berharap dapat meneruskan kerjasama yang baik selepas ini," katanya.

Semua negara anggota ASEAN – Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam – mengambil bahagian dalam ADGMIN1, diadakan secara maya dari Kuala Lumpur, bermula dengan Mesyuarat Pegawai Kanan (ADGSOM1) pada Isnin .

Bertemakan "ASEAN: A Digitally Connected Community", mesyuarat itu bertujuan memperkukuh kerjasama di antara negara-negara ASEAN ke arah membangun ekosistem digital sebagai tonggak dalam rancangan pembangunan pasca-COVID-19.

Leave a Reply

%d bloggers like this: