Anggota polis ditahan disyaki edar dadah

22/01/2021 12:53 AM

KUCHING, 21 Jan — Dua individu termasuk seorang anggota polis ditahan di sini kerana memiliki dadah jenis syabu dan serbuk campuran ecstasy yang dianggarkan bernilai kira-kira RM139,270 Selasa lepas.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kontinjen Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata anggota polis berusia 39 tahun itu ditahan ketika berada di kaunter pendaftaran sebuah pangsapuri servis di Jalan Datuk Tawi Sli di sini.

Menurutnya semasa serbuan suspek didapati sedang memegang satu kotak berwarna coklat, manakala suspek kedua berada di luar kaunter pendaftaran, dan selepas diperiksa polis menemukan dua bungkusan plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat lebih tiga kilogram dan 21 paket disyaki serbuk ekstasi dengan anggaran berat 531gram pada mereka.

Seorang rakan mereka yang menunggu di dalam kenderaan bagaimanapun dapat meloloskan dari dari kepungan dengan memecut kenderaannya keluar dari kawasan pangsapuri dan melanggar seorang pegawai polis yang turut terlibat dalam serbuan berkenaan.

“Pegawai polis itu telah dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan berkenaan kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu didapati positif dadah methamphetamine dan kini mereka direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 15(1)a) akta yang sama kerana menyalahgunakan dadah.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: