Senjata api dibuang di Sungai Skudai dipercayai untuk dilupuskan


Beberapa laras rifle airsoft pelbagai jenis antara yang ditemui di Sungai Skudai dengan penahanan 20 lelaki pada sidang media oleh Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

x

BERITA BERKAITAN

0b53cd48c644017ce6bb6f290e4b1fac5e3a3ea6acddf-small Lelaki warga emas rugi RM20,000 ditipu Macau Scam
3ea46405b4601743977378bbd5a54d815fb9c864641ff-small Polis Melaka selesaikan kes bunuh dalam tempoh 24 jam

14/01/2021 04:52 PM

JOHOR BAHRU, 14 Jan — Penemuan sejumlah senjata api di Sungai Skudai, di sini, pada 1 Jan lepas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, di sini, dipercayai bertujuan untuk dilupuskan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, senjata api berkenaan dipercayai merupakan saki baki senjata api yang disembunyikan seorang lelaki tempatan, iaitu pengurus syarikat keselamatan berusia 47 tahun yang sudah ditahan di Kota Tinggi atas kesalahan memiliki senjata dan amunisasi, pada Ogos lepas.

Beliau berkata pengurus yang merupakan anak individu bergelar ‘Datuk’ itu, sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi Oktober lepas, dan kesnya itu masih dalam perbicaraan.

Menurutnya, hasil siasatan turut mendapati seorang daripada 20 suspek yang ditahan PGA Briged Tengah susulan penemuan senjata api di Sungai Skudai tersebut, iaitu seorang lelaki berumur 38 tahun yang merupakan pengurus syarikat alatan perkhemahan, didapati merupakan adik kepada suspek utama tersebut.

Ayob Khan berkata, tujuh senjata api ditemui di sungai berkenaan pada 1 Jan lepas, yang mana hanya satu yang asli iaitu sepucuk pistol semi auto manakala enam lagi merupakan laras rifle airsoft pelbagai jenis yang menyerupai senjata sebenar.

Beliau berkata turut dirampas, 6,000 butir peluru hidup pelbagai jenis, lima butir peluru jenis 0.22 air rifle serta komponen senjata api airsoft.

“Dipercayai, secara keseluruhannya terdapat 20 senjata api yang dibuang ke dalam sungai dan tujuh ditemui. Hanya satu senjata asli (yang dibuang di Sungai Skudai), manakala yang lain semua airsoft, mungkin selepas suspek utama ditangkap, mungkin ada arahan untuk melupuskan (senjata api) yang lain dan dibuang dalam sungai.

“Operasi menyelam masih dilakukan oleh Pasukan Polis Marin hari ini dan kita juga jumpa satu lagi airsoft. Disebabkan arus deras, jadi operasi ini mungkin memakan masa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, 20 suspek terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan 13 warga Indonesia berumur 21 hingga 50 tahun yang ditahan itu, disiasat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama.

Ayob Khan menjelaskan, tiga daripadanya termasuk pengurus syarikat alatan perkhemahan itu sudah dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, semalam dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit.

Menurutnya, pengurus terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, susulan penemuan selaras senapang angin buatan Amerika Syarikat, 582 butir peluru hidup pelbagai jenis, serta lima batang ‘thunderflash’ yang ditemui di rumahnya.

Beliau berkata dalam masa sama, isu yang mengatakan Johor menjadi tempat penyeludupan senjata api adalah tidak benar, kerana ia bukannya senjata api yang diseludup dan ia adalah jenis airsoft yang dilupuskan.

“Airsoft ini biasa untuk bersukan, tetapi dipercayai ada kemungkinan ia digunakan untuk jenayah,” katanya dan menambah, siasatan terhadap seorang anggota polis yang dipercayai menyiarkan laporan polis berhubung kes berkenaan sekali gus tular dalam Facebook, telahpun dilakukan.

Pada 30 Ogos lepas, pemilik syarikat keselamatan berkenaan ditahan bersama lapan rakannya, termasuk tiga warganegara asing berusia lingkungan 27 hingga 59 tahun berhampiran kawasan hutan Empangan Felda Linggiu, dan polis merampas sepucuk pistol Glock 17, 15 butir peluru 9MM, selaras senapang patah jenama Adler dan 32 butir peluru 12 bore.

Leave a Reply

%d bloggers like this: