Ibu Neelofa perjelas isu ‘Harimau Menangis’

Noor Kartini berkata syarikat itu membuat permohonan tersebut bagi melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan perkataan Harimau Menangis pada bungkusan produknya. -Foto Sinar Harian

SUSULAN isu hangat berhubung jenama "Harimau Menangis" yang trending di media sosial baru-baru ini, syarikat Noor Khan Enterprise tampil membuat penjelasan.
Pemilik Noor Kartini Noor Mohamed menerusi satu kenyataan pada Rabu berkata syarikat itu membuat permohonan tersebut bagi melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan perkataan ‘Harimau Menangis’ pada bungkusan produknya.

“Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang produk tiruan dalam pasaran yang boleh menyebabkan masalah kepada pihak kami dan pengguna di luar sana.
“Pihak kami tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menjual produk yang sama selagi ia tidak menyerupai pembungkusan produk pihak yang kami pasarkan.

“Selain itu, pihak kami sentiasa mengamalkan polisi persaingan perniagaan yang sihat,” menurut kenyataan itu sepertimana dilaporkan portal Sinar Harian.
Isu permohonan cap dagangan Harimau Menangis keluaran Aunty Tini Kitchen melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menjadi panas apabila ia menjadi trending di Twitter pada Rabu.
Ia susulan tularnya video berdurasi 37 saat memaparkan Noor Kartini sedang memasak daging berkenaan selain memberitahu pihaknya sudah mendaftar untuk mempatenkan trademark "Harimau Menangis".
Ekoran itu, rata-rata warga maya menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama daging Harimau Menangis dalam produk mereka.
Pada masa sama, syarikat kepunyaan ibu kepada selebriti terkenal, Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor turut memohon maaf atas kesilapan kata-kata yang digunakan dalam kandungan video yang tular di media sosial pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata permohonan cap dagang bagi jenama ‘Harimau Menangis’ oleh Syarikat Noor Khan Enterprise diterima pada November tahun lepas.
Tambahnya, ia masih di peringkat pemeriksaan dan kelulusan permohonan bergantung kepada hasil pemeriksaan serta pertimbangan agensi tersebut.

Paten ialah satu hak eksklusif yang dianugerahkan untuk suatu reka cipta sama ada ia adalah satu produk atau satu proses untuk melakukan sesuatu yang baharu atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah.
Selain itu, cap dagangan membawa maksud apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.

Leave a Reply

%d bloggers like this: