Polis berkas tiga lelaki tempatan disyaki terlibat kes samun


ACP Mohamad Zainal Abdullah

13/01/2021 02:40 AM

KUALA LUMPUR, 12 Jan — Polis menahan tiga lelaki tempatan di sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini semalam kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Daerah Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kesemua suspek berusia 29 hingga 37 tahun itu ditahan pada pukul 12.45 tengah hari di dalam sebuah bilik hotel berkenaan.

“Semasa serbuan, polis menemui senjata dan peralatan termasuk satu objek menyerupai pistol, sebilah parang dan empat pedang samurai selain tiga jenis motosikal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan menyamun. Kesemua barangan itu turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Penahanan kesemua suspek ini juga dipercayai dapat menyelesaikan empat kes samun di sekitar Daerah Dang Wangi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil saringan mendapati kesemua suspek berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Mereka direman selama lima hari bermula hari ini sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah boleh menghubungi Balai Polis Dang Wangi di talian 03-26002222, talian penting Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Leave a Reply

%d bloggers like this: