Ford tutup tiga kilang di Brazil

12/01/2021 04:24 PM

SAO PAULO, 12 Jan — Ford Motor Co., syarikat automotif multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), pada Isnin berkata akan menutup tiga kilangnya di Brazil dan menghentikan semua pengeluarannya di negara itu pada 2021, lapor Agensi Berita Xinhua.

Pasaran Brazil, terbesar di Amerika Latin, akan dibekalkan oleh kilang di Argentina, Uruguay dan pasaran lain, kata pembuat kenderaan itu dalam satu kenyataan akhbar.

Pandemik COVID-19 telah "menyebabkan perkembangan industri terbantut dan penjualan yang perlahan menyumbang kerugian besar selama bertahun-tahun," kata kenyataan itu.

Pengeluaran akan dihentikan serta merta di kilang Sao Paulo dan Bahia, sementara pembuatan model Troller di kilang Horizonte diteruskan hingga suku keempat tahun ini.

Ford akan mengekalkan ibu pejabat pentadbiran Amerika Selatannya, pusat pembangunan produk dan tapak ujian di negara ini, kata kenyataan itu.

"Sudah lebih seabad berada di Amerika Selatan dan Brazil, kami tahu ia tindakan yang sangat sukar, tetapi perlu, untuk mewujudkan perniagaan yang sihat dan mampan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley dalam kenyataan itu.

Pada Disember 2019, Ford menutup pengeluaran kilangnya di Sao Bernardo do Campo di Greater Sao Paulo.

Leave a Reply

%d bloggers like this: