Sidang khas Dewan Rakyat tentukan sokongan Kerajaan PN


© Provided by Berita Harian Persidangan Dewan Rakyat. – Foto hiasan BERNAMA

roha

KUALA LUMPUR: Satu persidangan khas Dewan Rakyat perlu diadakan untuk menentukan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih ada sokongan majoriti atau sebaliknya.

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata dalam keadaan sekarang sukar untuk menentukan sama ada kerajaan PN masih ada sokongan majoriti atau sebaliknya. Pada masa ini, ada pelbagai dakwaan yang menyatakan majoriti kerajaan PN sudah sangat tipis.

"Apabila kita sudah mengetahui (ketiadaan) sokongan itu, mudah untuk ke peringkat seterusnya, iaitu membubarkan Parlimen seterusnya membolehkan pilihan raya diadakan," katanya kepada BH.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Machang daripada UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan PN diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa kelmarin.

Dengan tindakan Ahmad Jazlan itu, kerajaan PN kini dipercayai mendapat sokongan 110 wakil rakyat daripada keseluruhan 220 anggota Dewan Rakyat, termasuk satu kerusi Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengumumkan tidak memberikan sokongan sebelum undian belanjawan Disember lalu.

Bagaimanapun, Nik Ahmad Kamal menjelaskan sistem demokrasi yang dilaksanakan di negara ini dengan jelas menyatakan kelebihan satu kerusi itu masih dikira sebagai sokongan majoriti. Justeru, perlu ada bukti yang jelas jika benar sokongan majoriti itu masih ada atau sebaliknya.

"Jika ada bukti itu (tiada majoriti), maka mudah untuk Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong mempersembahkan untuk diputuskan pembubaran Parlimen bagi mengadakan pilihan raya.

"Perkara 43(4) menyebut ‘jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Namun, katanya, dalam keadaan penularan COVID-19 dan banjir tidak sesuai untuk pilihan raya akan diadakan.

Justeru, katanya, Yang di-Pertuan Agong boleh menangguhkan pilihan raya melalui pengisytiharan darurat dan kerajaan ditadbir kerajaan sementara atau kerajaan ‘care taker’.

Mengulas mengenai perkara itu, seorang lagi pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk mengekalkan kerajaan sedia ada sebagai kerajaan sementara hingga waktu sesuai diadakan pilihan raya umum.

"Kerajaan sementara ini boleh berfungsi selama mana belum ada mana-mana calon lain yang mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun, kerajaan sementara boleh boleh tumbang jika berlaku undi tidak percaya di Parlimen," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat dengan mengambil kira realiti wabak COVID-19 dan ketiadaan tokoh lain yang mendapat sokongan majoriti, maka kerajaan PN wajar dipilih sebagai kerajaan sementara.

Selain sokongan 110 wakil rakyat kepada PN, blok kedua terbesar adalah Pakatan Harapan (PH) diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 91 kerusi.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada petanda jelas Anwar akan mendapat sokongan daripada parti lain, termasuk PEJUANG, WARISAN dan MUDA.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar berpendapat pilihan raya adalah cara terbaik selesaikan kemelut kestabilan dan keutuhan kerajaan pada masa ini.

Namun, katanya, pilihan raya itu hanya boleh dilaksanakan pasca banjir dan COVID-19, dengan mengambil iktibar apa yang terjadi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply

%d bloggers like this: