PM dijangka pengerusikan mesyuarat sulung BPN PN Johor Selasa


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu hadir pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Ibu Pejabat Bersatu malam ini. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

11/01/2021 10:12 AM

Oleh Nor Baizura Basri

JOHOR BAHRU, 11 Jan — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mempengerusikan mesyuarat sulung Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) Johor di Putrajaya, esok (12 Jan).

Mesyuarat itu bakal menjadi pencetus kepada gerak kerja besar-besaran di seluruh negara yang akan tertumpu kepada usaha membantu memulihkan kembali kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Menurut jurucakap PN Johor, menerusi mesyuarat pertama BPN Johor itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Pengerusi BPN PN Johor, dijangka mengumumkan pembentukan struktur PN peringkat negeri.

“Mesyuarat juga akan merangka, menyenarai dan menyelaraskan segala program dan aktiviti parti di peringkat negeri menerusi pelantikan jawatankuasa penyelaras Parlimen dan Dewan Undangan Negeri PN),” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Selain itu, pembentukan struktur gabungan yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS serta program dan aktiviti yang dirancang, dijangka menjadi model kepada PN di negeri-negeri lain khususnya dalam mengendalikan program di negeri masing-masing.

“Sebagai sebuah gabungan parti politik baharu yang menerajui Kerajaan Pusat, segala program akan memberi fokus kepada usaha membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40 sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara parti dan kedudukan PN sebagai parti pemerintah,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata perincian mesyuarat itu sedang dibincangkan oleh wakilnya dan wakil Bersatu.

"Dalam mesyuarat itu, kita akan bentuk jawatankuasa bersama dan akan ada lantikan Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan ahli-ahli jawatankuasa.

"Mesyuarat ini penting kerana kita cuba menyesuaikan diri antara kedua pihak (Bersatu dan PAS). Macam salam perkenalan dan memperbincangkan strategi sesuai untuk Johor," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, di sini.

Menurut Abdullah, menerusi mesyuarat ini pendekatan dan strategi yang bersesuaian dengan kedua-dua parti berkenaan akan dicari supaya ia sesuai dengan suasana politik Johor.

Beliau berkata mesyuarat itu juga dijangka dihadiri oleh lima pemimpin tertinggi PAS Johor termasuk dirinya dan lima daripada Bersatu Johor termasuk Muhyiddin, yang juga Pemangku Pengerusi dan Presiden Bersatu.

Ketika ditanya sama ada UMNO akan turut serta dalam mesyuarat itu, Abdullah berkata:“ UMNO tidak terlibat, tetapi PAS tetap akan meneruskan Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO.

"Dengan Bersatu, hubungan kita melalui PN, dengan UMNO MN. Hubungan kita dengan UMNO pun masih baik," kata Abdullah.

Pada 5 Jan lepas, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan di Facebook beliau mengumumkan pelantikan seramai 14 Pengerusi BPN PN termasuk Muhyiddin.

Leave a Reply

%d bloggers like this: