KL United FC lantik Hodak sebagai ketua jurulatih baharu

10/01/2021 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan — Bekas ketua jurulatih skuad Bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan Bojan Hodak dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur United (KL United FC) untuk saingan Liga Malaysia 2021 (Liga-M) yang dijadualkan bermula pada 26 Feb.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KL United FC Stanley Bernard Stephen Samuel, jurulatih berusia 49 tahun dari Croatia itu telah menandatangani kontrak satu tambah satu (satu tahun dengan pilihan tambahan setahun lagi) dengan kelab itu dan akan memulakan tugas pada 15 Jan selepas tamat tempoh kuarantin pencegahan COVID-19 selama tujuh hari.

Stanley, bekas pemain Kuala Lumpur berkata, pelantikan Hodak adalah berdasarkan kepada rekod prestasi beliau dalam Liga-M, terutamanya ketika membawa Kelantan meraih kejuaraan ‘treble’ – Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia – pada 2012 serta membantu Johor Darul Ta’zim menjuarai Liga Super pada 2014.

Sebelum ini, KL United FC telah mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Timor Leste, Simón Elissetche sebagai ketua jurulatih baharu mereka, bagaimanapun, sijil kejurulatihan pengendali dari Chile itu tidak diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menyebabkan mereka memutuskan untuk memilih Hodak.

"Saya tidak dapat menunggu lagi (untuk mendapatkan kesahihan lesen kejurulatihan Simon Elissetche) tetapi jika membandingkan ringkasan latar belakang kerjaya antara kedua-dua individu ini, saya dapat katakan bahawa ia adalah keputusan berkaitan bola sepak kerana kami mahukan jurulatih yang mempunyai rekod prestasi yang lebih baik," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut beliau, Hodak juga telah ditugaskan untuk memastikan skuad kendaliannya akan terus kekal berada di dalam Liga Super 2022 atau kontraknya tidak akan diperbaharui.

Dalam perkembangan berkaitan, Stanley percaya kemasukan beberapa pemain berpengalaman dan kebangsaan dalam pasukan itu bakal menjadikan mereka antara pesaing untuk bergelar juara Liga Super musim ini.

Pasukan itu telah menggabungkan penyerang veteran Mohd Safee Sali dari Petaling Jaya City FC dan juga pemain kebangsaan Muhammad Hadin Azman (Kedah), selain beberapa pemain import baharu seperti bekas penyerang Terengganu FC, Dominique Da Slyva dari Mauritania dan bekas pemain tengah Melaka, Romel Morales dari Colombia.

KL United FC mengekalkan khidmat pemain tongak dari Brazil, Paulo Josue, yang bermain bersama pasukan itu sejak 2017.

Pasukan ini dinaikkan ke Liga Super 2021 walaupun menduduki tempat ketiga dalam Liga Premier musim lepas.

Terengganu FC II (TFC II) yang muncul sebagai naib juara Liga Premier 2020 tidak dapat beraksi dalam Liga Super kerana mereka adalah pasukan sokongan kepada Terenganu FC (TFC).

Leave a Reply

%d bloggers like this: