Empat strategi jadi panduan penjawat awam N.Sembilan tingkat penyampaian perkhidmatan


Datuk Seri Aminuddin Harun (Gambar fail)

11/01/2021 12:01 PM

SEREMBAN, 11 Jan — Kerajaan Negeri Sembilan menggariskan empat strategi yang perlu dipraktikkan oleh semua penjawat awam negeri bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri serta meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata empat strategi berkenaan adalah mengaplikasi perkembangan digital dalam tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kerajaan; membentuk identiti negeri yang unggul dan bertaraf glokal; memperkukuh ekonomi negeri rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi serta merancang kesejahteraan penjawat awam di Negeri Sembilan.

“Penjawat awam di negeri ini wajar menjadi duta, mata dan telinga untuk menyampaikan dasar pembangunan kerajaan yang perlu diketahui oleh rakyat.

“Penjawat awam di daerah pula memainkan peranan penting untuk membantu kerajaan negeri membangun sesebuah daerah agar koridor pembangunan daerah melalui projek-projek pembinaan infrastruktur, pembangunan kawasan komersial, kediaman, infrastruktur sosial, hab inovasi dan perubatan yang ada, dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat setempat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2021 yang diadakan secara fizikal dengan kehadiran terhad dan turut disiarkan secara dalam talian.

Aminuddin dalam pada itu turut menekankan kepentingan penjawat awam mengimbangi antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar bagi menjamin kualiti hidup generasi kini dan akan datang.

“Kerajaan negeri yakin kelestarian sumber boleh memacu pertumbuhan ekonomi baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan di samping kita merancang pembangunan negeri dengan lebih baik,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: