Penggantungan seumur hidup jadi pengajaran kepada pemain – Norza


Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

09/01/2021 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan — Keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenakan penggantungan seumur hidup terhadap seorang rakyat Malaysia terbabit dalam mengatur perlawanan perlu dijadikan sebagai iktibar kepada barisan pemain negara supaya tidak terjebak dalam aktiviti tidak bermoral itu.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan tindakan diambil ke atas individu terbabit merupakan satu langkah tepat dalam membendung aktiviti tersebut daripada terus mencemarkan imej sukan badminton.

Beliau berkata keputusan penggantungan itu turut menjadi pengajaran kepada pemain supaya tidak mengulangi kesilapan sama dilakukan dua bekas pemain negara, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chung Seang yang sebelum ini, masing-masing dikenakan hukuman penggantungan 20 dan 15 tahun oleh BWF kerana terbabit dalam isu mengatur perlawanan.

“Kita berharap (tindakan BWF) ini satu amaran kepada pemain kita supaya apa pun yang kita buat, tidak seharusnya menggunakan jalan pintas atau melihat kekayaan dan keuntungan semata-mata kerana persaingan dalam sukan badminton ini (perlu) diadakan secara sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BAM ke-75 di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Semalam, BWF menerusi satu kenyataan memaklumkan panel pendengaran bebas badan induk itu mengambil keputusan mengenakan penggantungan seumur hidup terhadap seorang eksekutif syarikat peralatan sukan warga Malaysia atas kesalahan mengatur perlawanan.

BWF memaklumkan Unit Integriti BWF telah menyiasat wakil eksekutif peralatan sukan yang menaja pemain antarabangsa itu sejak kejohanan Terbuka Jepun 2014.

Menurut BWF, eksekutif berkenaan boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam tempoh 21 hari daripada tarikh hukuman.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata BAM menerusi jawatankuasa undang-undang sentiasa mengadakan kursus kesedaran, selain menasihatkan pemain negara untuk membuat laporan kepada pihak pengurusan sekiranya ada individu luar cuba melibatkan mereka dalam aktiviti tidak bermoral itu.

Ditanya mengenai pembabitan individu berkenaan bersama BAM, beliau mendapat maklumat daripada Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh bahawa individu tersebut pernah cuba berurusan dengan ahli gabungan BAM di peringkat negeri sahaja, namun ia tidak diteruskan atas faktor tertentu.

Leave a Reply

%d bloggers like this: