JKR terima 267 kerosakan jalan akibat banjir di enam negeri


Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman

09/01/2021 10:22 PM

GUA MUSANG, 9 Jan — Jabatan Kerja Raya (JKR) menerima sebanyak 267 laporan berhubung kerosakan jalan raya, jambatan, cerun runtuh dan jalan mendap membabitkan enam negeri yang dilanda banjir.

Ketua Pengarah JKR Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata negeri terbabit ialah Kelantan, Johor, Pahang, Perak, Terengganu dan Selangor.

Beliau berkata antara kerosakan dilaporkan membabitkan 141 jalan, 58 cerun runtuh, lapan jalan mendap dan tiga jambatan rosak.

"Kita sudah mengarahkan semua JKR negeri terbabit supaya memantau keadaan itu supaya tidak membahayakan pengguna," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan jalan di Lojing, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat disampaikan pemangku Pengarah JKR Kelantan Mohd Suhaili Ismail berhubung kejadian tanah runtuh pada Ahad lepas yang menyebabkan Jalan Gua Musang-Lojing di KM92 rosak, dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur.

Kerosakan sepanjang hampir dua kilometer menyebabkan jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan dan hanya dibuka satu lorong sejak petang semalam, selepas kerja pembersihan dijalankan.

Mohamad Zulkefly berkata kajian akan dijalankan bagi mengetahui jumlah sebenar untuk kerja membaik pulih kerosakan jalan terbabit.

Leave a Reply

%d bloggers like this: