COVID-19 : 37 pelanggan sebuah pusat hburan dikompaun


ACP Nik Ezanee Mohd Faisal (Gambar fail)

09/01/2021 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan — Seramai 37 pelanggan sebuah pusat hiburan yang sedang leka berhibur dan meminum minuman keras dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Seksyen 19, Petaling Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pelanggan yang terdiri daripada 17 lelaki dan 20 wanita berusia lingkungan 20 tahun sehingga 56 tahun itu dikompaun selepas polis membuat pemeriksaan ke dalam bilik-bilik di premis terbabit pada kira-kira 8.50 malam itu.

Beliau berkata mereka dikompaun mengikut Seksyen 13 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Tempatan Jangkitan 2020) kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

“Polis turut menahan pengurus premis itu iaitu lelaki warga tempatan berusia 36 tahun kerana gagal mengemukakan lesen pusat hiburan yang sah dan tidak mempunyai lesen menjual minuman keras serta dibebaskan dengan jaminan polis.

“Selain itu, polis merampas 23 botol arak pelbagai jenama, peralatan audio, bil tunai dan wang tunai berjumlah RM4,250 manakala kes disiasat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: