Banjir: Bomba bantu bawa jenazah ke kubur


Jenazah penduduk Kampung Perun, Majid Abu Bakar, 85, dibawa dengan bantuan Bomba dan Penyelamat untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Desa Baru Purun di sini, hari ini. Khidmat Bomba dan Penyelamat diperlukan selepas kawasan rumah arwah tersebut ditenggelami banjir.

09/01/2021 09:09 PM

KUANTAN, 9 Jan — Pasukan Bomba dan Penyelamat hari ini bertindak di luar kebiasaan dalam membantu operasi banjir dengan membawa jenazah seorang warga emas ke Tanah Perkuburan Kampung Desa Baru Purun untuk urusan pengebumian.

Jenazah Majid Abu Bakar, 84, diuruskan kakitangan Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh selepas anak saudaranya Mohd Nadzri Mat Amin, 39, menghubungi Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) daerah bagi mendapatkan bantuan.

Allahyarham meninggal dunia di rumahnya malam tadi kerana sakit tua.

Bercakap kepada Bernama, Mohd Nadzri berkata kampung mereka dinaiki air sejak Isnin lepas dan bimbang bot fiber yang digunakan penduduk untuk menyeberangi banjir terlalu kecil dan tidak seimbang bagi membawa jenazah.

"Semasa sedang menguruskan jenazah, bomba menghubungi saya memaklumkan mereka akan menunggu di lokasi banjir untuk membawa jenazah ke masjid sebelum ke tanah perkuburan," katanya.

Mohd Nadzri berkata pihak bomba tiba sekitar 12 tengah hari dan urusan pengebumian bapa saudaranya selesai selepas Zohor.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Syed Moshen T Ismail berkata laluan ke tanah perkuburan itu dinaiki air sedalam empat meter sepanjang kira-kira satu kilometer.

Leave a Reply

%d bloggers like this: