Taktik warga Bangladesh jual rokok seludup di kedai runcit terbongkar

07/01/2021 04:13 PM

PARIT, 7 Jan — Taktik seorang lelaki warga Bangladesh menjual rokok seludup di sebalik perniagaan barangan runcit di rumah kongsinya di dalam sebuah ladang sawit di Kampung Gajah di sini akhirnya terbongkar selepas ditahan bersama 189 karton rokok seludup bernilai RM8,000.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata bertindak atas maklumat awam, pihaknya melakukan serbuan dan menahan suspek di rumah tersebut kira-kira pukul 10.10 malam Rabu lepas.

“Suspek berumur lingkungan 20-an itu ditahan bersama lima kotak kertas mengandungi sejumlah karton rokok dipercayai rokok seludup.

“Hasil rampasan mendapati sejumlah 189 karton rokok pelbagai jenama antaranya D-Blend, Zon King, Paradox dan L.A Bold disembunyikan dalam kotak kertas yang dijumpai ketika pemeriksaan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Barudin berkata suspek yang bekerja di ladang kelapa sawit itu menjalankan perniagaan runcit kecil-kecilan dalam rumah tersebut dan menjual rokok seludup kepada golongan sasaran iaitu pekerja warganegara asing yang bekerja di ladang bersama-samanya.

“Siasatan awal mendapati suspek menerima bekalan daripada beberapa pembekal rokok seludup dari daerah jiran dengan kekerapan tiga kali sebulan.

“Usaha mengesan pembekal rokok seludup yang berkaitan dengan tangkapan kes ini telah digerakkan dalam usaha membanteras sindiket yang mendalangi kegiatan membekal rokok seludup masuk ke kampung dan ladang sawit di dalam daerah ini,” katanya.

Barudin berkata suspek kini ditahan reman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama.

Katanya, pihaknya juga sedang mendapatkan pengesahan lanjut berhubung status dokumen suspek dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

Leave a Reply

%d bloggers like this: