Puteri UMNO dikerah hulur bantuan, bersih rumah mangsa banjir


Datuk Zahida Zarik Khan (kanan) melihat barangan sumbangan sebelum diserahkan kepada mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Serbaguna Chikus hari ini.

07/01/2021 02:38 PM

PASIR SALAK, 7 Jan — Skuad Sukarelawan Pergerakan Puteri UMNO di seluruh negara dikerah untuk membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas dengan bencana alam itu termasuk dalam urusan pembersihan.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata bantuan perlu dihulurkan atas dasar keprihatinan sebaik sahaja banjir berlaku sehingga banjir surut, termasuk membantu dalam kerja-kerja pembersihan rumah pascabanjir.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan turut mendapatkan sukarelawan daripada kalangan mahasiswa untuk bekerjasama membantu meringankan beban mangsa banjir.

“Mungkin lebih 1,000 ahli puteri akan terlibat sama membantu mangsa banjir. Pergerakan Puteri UMNO di bahagian masing-masing tahu peranan mereka untuk membantu.

“Seperti di Pahang, ada yang telah mula terlibat dengan kerja pembersihan di sesetengah tempat. Semua telah bergerak dan turun hantar bantuan serta kudrat membantu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Serbaguna Chikus di sini, hari ini.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, Zahida berkata skuad Puteri UMNO Perak bersama Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak bekerjasama membantu memberikan sokongan moral selain menghantar bantuan keperluan seperti tuala kepada mangsa banjir selain kewangan dan makanan.

“Proses seterusnya, kita akan cuba hantar sukarelawan untuk membantu membersihkan. Setakat ini mungkin belum boleh memulakan proses pembersihan kerana air banjir masih belum surut.

“Dua hari lepas, kami pergi ke Maran, Pahang dan Kuala Krai, Kelantan serta beberapa kawasan di Johor. Kita doakan semua mangsa kuat, tabah menempuh dugaan ini,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: