PH arah feri lama P Pinang digantikan, kata menteri pengangkutan


© Provided by Free Malaysia Today Feri lama dua tingkat Pulau Pinang sudah digantikan bot penumpang laju.

GEORGE TOWN: Penggantian feri Pulau Pinang diarahkan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong yang menolak dakwaan DAP “pembatalan” beberapa projek pengangkutan kerana “pembalasan politik”.

Wee dalam catatan Facebook berkata, keputusan untuk menggantikan feri lama dua tingkat “sebenarnya dicadang, diluluskan dan dimulakan kerajaan PH terdahulu. Saya cuma meneruskannya kerana merasakan ia sesuatu yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat”.

a bridge over a body of water

Wee dan Kementerian Pengangkutan membuat kenyataan berasingan susulan dakwaan DAP terdapat alasan politik di sebalik perubahan terhadap projek pengangkutan Pulau Pinang.

Semalam, Ahli Parlimen Bagan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, bersama adiknya yang juga senator dari Pulau Pinang, Lim Hui Ying berkata, orang Pulau Pinang menjadi mangsa ketika Perikatan Nasional menjadi kerajaan.

Mereka mendakwa semua projek berkaitan pengangkutan yang memerlukan kelulusan atau dana persekutuan dibatalkan.

Guan Eng berkata, ia bukan kebetulan kerana Kementerian Pengangkutan di bawah Wee, yang juga presiden MCA.

DAP turut melancarkan kempen tanda tangan terhadap projek yang didakwa dibatalkan itu.

Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan berkata, perkhidmatan feri Pulau Pinang tidak dibatalkan, sebaliknya ia ditambah baik mengikut arus pemodenan kerana feri lama sering rosak dan tidak berdaya maju dalam jangka panjang.

Feri baru dalam bentuk bas air dan pengangkut kenderaan untuk motosikal akan beroperasi menjelang Julai 2022.

Kementerian itu turut berkata, Hui Ying pada bulan lalu mencadangkan kepada Dewan Negara yang feri lama boleh dijadikan “restoran terapung, muzium atau pelayaran pelancongan”, serta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang turut mencadangkan dua feri dua tingkat terakhir dijadikan muzium atau restoran, sementara menunggu permintaan untuk cadangan (RFP) daripada mana-mana pihak berminat.

Kementerian itu, dan Wee, turut berdepan dakwaan DAP mengenai cadangan projek pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang dan laluan LRT dari George Town ke lapangan terbang itu.

Wee berkata, projek lapangan terbang itu diluluskan kerajaan Barisan Nasional terdahulu dalam Belanjawan 2018.

Kementerian itu berkata, projek pembesaran itu tidak dibatalkan seperti didakwa DAP, tetapi ditangguhkan sementara menunggu ia diteliti secara menyeluruh susulan permintaan rendah akibat pandemik Covid-19, dan hal berkaitan pengambilalihan tanah.

Krisis penerbangan menjejaskan kemampuan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad untuk membiayai sebarang pembesaran. Kerajaan mempertimbangkan semula semua projek pembesaran lapangan terbang susulan ramalan antarabangsa yang penerbangan awam hanya akan pulih pada 2024.

Mengenai projek LRT Bayan Lepas, kementerian itu berkata, ia belum menerima laporan penilaian impak alam sekitar dan sosial, jadi mustahil untuk mereka meluluskan projek itu.

Katanya, ia juga tidak dapat memberi “persetujuan separa” bagi bahagian tertentu yang terpisah daripada penjajaran dicadangkan dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada kerajaan negeri November lalu.

Wee berkata, kerajaan PN membatalkan kelulusan diberikan Guan Eng, sebagai menteri kewangan, untuk Pulau Pinang meminjam AS$500 juta daripada Bank Pembangunan Asia bagi membiayai projek itu.

Katanya, kerajaan negeri sudah beberapa kali mengumumkan mereka mempunyai keupayaan membiayai projek bernilai RM46 bilion itu.

“Pintu rundingan masih terbuka untuk Guan Eng berbincang dengan menteri kewangan bagi mendapatkan pertolongan kerajaan persekutuan, sekiranya Guan Eng benar-benar ada sumber pinjaman lebih rendah.”

Wee turut menyentuh cadangan projek kereta kabel Bukit Bendera, yang didakwa menjadi mangsa permainan politik.

Katanya, projek itu bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, sebaliknya di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Jadi, saya tidak terlibat dan tiada kaitan (dengan projek kereta kabel itu).”

Leave a Reply

%d bloggers like this: