Pemain skuad Kedah sedang ‘bina’ keserasian – Baddrol


Baddrol Bakhtiar

07/01/2021 02:30 PM

ALOR SETAR, 7 Jan — Pemain skuad bola sepak Kedah kini sedang membina keserasian bagi membolehkan ‘rentak yang seiring’ dapat ditonjolkan, sekali gus memberi saingan sengit dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.

Kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar berkata masih terlalu awal untuk memberi sebarang komen mengenai prestasi gandingan pemain lama dan baharu, namun bertekad untuk berusaha memberikan persembahan terbaik khusus untuk penyokong tegar Kedah.

“Kami (pemain lama dan baharu) baru 10 hari menjalani latihan bersama, jadi keserasian itu masih dicari. Kami akan beri yang terbaik untuk saingan 2021 dan mengharapkan sesuatu yang positif bagi pasukan Hijau Kuning.

“Saya juga berharap pemain lama yang kembali semula dengan pasukan Kedah dapat mempamerkan prestasi cemerlang untuk membantu pasukan bermain dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pada majlis yang dihadiri Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor itu, Baddrol dipilih sebagai Ikon Kempen Pembudayaan Norma Baharu Negeri Kedah.

Sebelum ini, laman rasmi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memuat naik kenyataan bahawa ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak dikekalkan untuk membimbing skuad Hijau Kuning untuk musim 2021.

Selain Baddro, beberapa pemain turut dikekalkan antaranya Rizal Ghazali, Shahril Sa’ari, Faizat Ghazli, Zulkhairi Zulkepli, Azammuddin Akil, Kipre Tchetche serta Kpah Sherman dan difahamkan senarai penuh skuad KDA FC akan diumumkan secara rasmi hujung bulan ini.

Leave a Reply

%d bloggers like this: