Pasaran automobil tenaga alternatif China buka peluang baharu

08/01/2021 04:23 PM

BEIJING, 8 Jan — Jenama kenderaan elektrik (EV), Tesla sekali lagi mencuri perhatian pembeli kereta China selepas melancarkan dua lagi model baharu untuk pasaran negara ini dengan harga yang lebih rendah.

Terdahulu, pasaran China pernah menyaksikan penurunan harga kenderaan membabitkan beberapa model utama keluaran Tesla.

Mengulas penurunan harga kali ini, Ketua Pegawai Eksekutif ZHONGHAI DIANDONG, Song Xinghai berkata, sektor automobil tenaga alternatif di China dilihat semakin berkembang, yang mempunyai potensi berdaya saing dengan pemain luar negara.

“Pemain domestik seperti NIO, XIAOPENG, LIXIANG, kumpulan GAC, kumpulan BAIC dan BYD berlumba-lumba melancarkan kenderaan mesra alam, yang kualiti, hiasan dalaman serta kecerdasannya setanding Tesla, malah dilengkapi teknologi bantuan pemandu lebih canggih berbanding jenama itu.

“Dalam situasi ini, Tesla perlu memfokuskan kepada penghasilan model baharu yang harganya lebih kompetitif bagi mencapai sasaran jualannya,” ujar Song dari syarikat pembekal kenderaan tenaga alternatif yang berpangkalan di Beijing itu.

Menurutnya, kehadiran Tesla di pasaran China membuktikan daya tarikan pasaran automobil tenaga alternatif negara itu.

Syarikat pengeluar EV tersebut dikatakan menyasarkan jualan mencecah sejuta unit di peringkat global menjelang 2022, dan 40 peratus daripada jualannya disumbang China.

Selain itu, sesetengah pembekal kenderaan tradisional multinasional pula dilihat turut beralih ke pasaran China.

Berdasarkan Pelan Pembangunan (2021-2035) Industri Automobil Tenaga Alternatif China, jualan kereta baharu mesra alam dijangka mencapai 25 peratus menjelang 2025, manakala penggunaan kenderaan elektrik merangkumi sektor awam secara menyeluruh pada 2035.

Leave a Reply

%d bloggers like this: