Akufo-Addo angkat sumpah sebagai presiden Ghana untuk penggal kedua

08/01/2021 12:09 PM

ACCRA, 8 Jan — Presiden Ghana Nana Addo Dankwa Akufo-Addo mengangkat sumpah jawatan pada Khamis bagi memulakan penggal kedua dan terakhirnya, lapor Agensi Berita Xinhua.

Ketua Hakim, Kwasi Anin Yeboah, juga mengangkat sumpah jawatan dan taat setia kepada Akufo-Addo di hadapan anggota kabinet, 12 ketua negara yang hadir, tetamu tempatan dan antarabangsa.

"Pemilihan semula ini menjadi bukti kepercayaan rakyat Ghana kepada saya serta menghargai pencapaian sepanjang penggal pertama saya, dan menyelesaikan beberapa perkara lagi untuk tempoh empat tahun akan datang," kata Akufo-Addo.

Beliau bertekad membawa rakyatnya mencapai kemajuan, kemakmuran dan pembangunan, serta menangani cabaran COVID-19.

Menurutnya demokrasi di Afrika Barat akan tercapai sekiranya negara yang makmur dapat dibina dan rakyat saling berdamai sesama sendiri dan dengan dunia."

Mengulas mengenai pemilihan bekas anggota parlimen pembangkang Alban Bagbin, sebagai pengerusi parlimen, presiden itu berkata walaupun ia kali pertama berlaku, beliau bersedia bekerjasama dengan speaker baharu itu demi kepentingan negara.

"Saya yakin hubungan kami berdua akan mengutamakan kepentingan rakyat bagi memastikan pemerintahan yang baik sepanjang melaksanakan urusan negara," kata presiden.

Akufo-Addo melengkapkan penggal pertamanya sebagai presiden Ghana pada Rabu dan kemudian diumum memenangi pilihan raya Presiden Disember 2020.

Turut mengangkat sumpah bagi penggal kedua, Naib Presiden Mahamudu Bawumia.

Perlembagaan Ghana membenarkan maksimum dua penggal empat tahun untuk setiap presiden.

Leave a Reply

%d bloggers like this: