KAHWIN BATAL, HAMPIR RM50,000 LEBUR – LIA NATALIA AKUI SERIK JALINKAN HUBUNGAN

"Jujurnya, saya amat serik. Saya jadi takut untuk kembali membuka hati pada lelaki. Sebab takut, akhirnya saya yang sakit. Ini kerana saya tahu bila bercinta, komitmen saya tahap mana. Jadi, sekarang malaslah nak fikir mengenai lelaki. Penat, duit, masa dan tenaga pun habis.

"Berilah saya masa untuk mengubati kekecewaan hati. Siapa tak sedih, segala persiapan nak berkahwin sudah dilakukan, tetapi tak jadi," jelas pelakon Lia Natalia yang serik untuk menjalinkan hubungan selepas perkahwinan yang dirancang dibatalkan pada saat akhir, hujung tahun lalu.

Menutup tirai 2020 dengan episod menyedihkan, Lia atau nama sebenarnya, Alia Afiqah Abden berkata, dia mahu mengambil masa, sebelum kembali menjalinkan hubungan serius.

Awal tahun ini, pada majlis perkahwinan rakan baiknya, Ayda Jebat, Lia berkongsi perkahwinan yang dengan jejaka dikenali hampir setahun lalu sepatutnya berlangsung Disember lalu tetapi dibatalkan selepas hampir 70 peratus persiapan sudah disediakan.

Lia yang enggan mendedahkan punca perpisahan dengan jejaka berusia 40 tahun itu berkata, hampir RM50,000 yang digunakan untuk persiapan perkahwinan lebur begitu sahaja.

Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

"Semua persiapan sudah tersedia seperti tiket penerbangan pulang ke Tawau, Sabah. Bayangkan, tiket sahaja sekitar RM20,000, tidak masuk persiapan lain seperti tempahan lokasi, hantaran dan sebagainya.

"Selain itu, penggambaran pra-perkahwinan juga sudah dijalankan September lalu dan tunggu untuk dikeluarkan. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan ini dan menyifatkannya bukan rezeki saya.

"Alasan perpisahan kami, biarlah saya dan keluarga sahaja yang tahu. Saya tak mahu membuka aib bagi menjaga nama baiknya dan keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Lia bersyukur ahli keluarga yang menetap di Tawau tidak putus memberikan sokongan dan semangat: "Perkara ini terjadi sekitar November lalu dan saya berada di Tawau, ketika itu. Jadi, keluarga menjadi kekuatan untuk saya berdepan dengan kesedihan ini.

Image_3.jpg

"Ibu berpendapat lebih baik tak jadi daripada saya menyesal selepas berkahwin. Malah, keputusan ini juga saya buat selepas berbincang dengan keluarga. Kami merasakan membatalkan perkahwinan adalah jalan terbaik," tuturnya.

Lia berkenalan dengan jejaka berkenaan selama sebulan, sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Katanya, mereka bertemu selepas pulang mengerjakan umrah, awal tahun lalu. Tidak menyalahkan takdir, Lia turut berkongsi pengajaran yang diperoleh selepas kejadian itu.

"Mungkin dia adalah hamba yang Allah kurniakan untuk saya belajar supaya tidak mengambil langkah terlalu cepat untuk membuat keputusan menamatkan zaman bujang.

"Lebih baik mengambil masa dan mengenali hati budi serta latar belakangnya terlebih dahulu," ujarnya yang mahu fokus pada kerjaya, buat masa ini.

Leave a Reply

%d bloggers like this: