Pengawal keselamatan maut semasa bantu tolak kereta rosak

07/01/2021 07:05 PM

KUANTAN, 7 Jan — Niat seorang pengawal keselamatan membantu menolak kereta rosak ke tepi jalan berakhir dengan tragedi apabila dia maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Km67 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata kejadian turut menyebabkan tiga lagi termasuk pemandu MPV berusia 28 tahun berkenaan cedera ringan.

“Kejadian berlaku apabila MPV dari arah Kuantan menghala Segamat itu cuba memotong di garisan berkembar, namun melanggar bahagian kiri trak tunda sebelum melanggar mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, Muhammad Uzreen Mohd Nazir, 30, dari Batu Balik, Pekan tercampak ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Turut cedera dalam kemalangan itu ialah pemandu dan kelindan trak tunda tersebut.

Mayat Muhammad Uzreen dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

%d bloggers like this: