Megat Azrafiq fokus tingkat prestasi pemain

06/01/2021 07:46 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 6 Jan — Proses membina kekuatan fizikal pemain adalah antara aspek ditekankan juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjelang kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 yang bakal membuka tirai minggu depan.

Ketua Jurulatihnya Megat Azrafiq Termizi berkata baki kira-kira seminggu sebelum saingan liga bermula akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempersiapkan barisan pemain menghadapi cabaran serta intensiti permainan pasca-COVID-19.

Menurut beliau, prestasi sebahagian pemainnya belum mencapai tahap memuaskan akibat ketiadaan sebarang aksi kompetitif selama tiga bulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini.

"Kali terakhir mereka beraksi semasa Piala Tun Abdul Razak (September lepas) kemudian gelombang baharu jadi semua tidak aktif sejak itu. Mereka hanya mula kembali bermain sejak dua minggu lepas dan boleh nampak ada yang ‘berkarat’.

"Apa kita nak buat sekarang ialah memperbanyakkan perlawanan untuk kembali memberi suasana perlawanan sebenar kepada pemain, jadi mereka akan kelihatan bersedia dan tidak kekok pada aksi pertama liga," katanya kepada Bernama, hari ini.

Menurut Megat Azrafiq, UniKL sudah mendaftarkan 20 pemain bagi menghadapi MHL 2021 yang dijadual berlangsung dari 14 Jan hingga 20 Feb, dan 10 pemain merupakan pemain kebangsaan yang tidak menghadapi masalah menjalani latihan sepanjang PKPB.

Mengulas lanjut, Megat Azrafiq berkata pihak pengurusan tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik bagi saingan musim ini.

Namun beliau menyedari jangkaan tinggi daripada pelbagai pihak selepas beliau menggantikan bekas pengendali Arul Selvaraj yang dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada Ogos 2020.

"Ini satu cabaran dan sedikit tekanan kepada saya, tetapi apa yang boleh saya janjikan ialah memberikan yang terbaik dan pada masa sama mengharapkan semua pemain berada pada tahap terbaik. Kita akan tumpu kepada satu-satu perlawanan liga serta terus berusaha kerana keputusan itu akan datang," katanya.

Pada musim lepas, UniKL melakar kejayaan ‘treble’ apabila memenangi saingan liga, Piala Sumbangsih dan Piala TNB.

Leave a Reply

%d bloggers like this: