Felda tunggu kerajaan negeri lulus cadangan bina rumah tambahan – Idris

02b6f20fd48bb6e9fbfe055e1591238a5ff5d45f9cbf3

06/01/2021 11:36 PM

 

BUKIT KAYU HITAM, 6 Jan — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri berkaitan, bagi membolehkan generasi kedua atau ketiga tanah rancangan itu membina rumah tambahan di lot peneroka asal.

Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh berkata, inisiatif itu adalah bagi membolehkan golongan berkenaan membina rumah baharu di lot sedia ada, berhampiran dengan kediaman ibu bapa mereka, sekali gus dapat menyelesaikan isu perumahan dalam kalangan warga Felda.

“Felda sudah membuat polisi untuk membenarkan (generasi kedua/ketiga) membina rumah baharu di lot ibu bapa mereka, tapi kena dapat kelulusan daripada kerajaan negeri dahulu.

“Kita dah arahkan semua Pengurus Besar Wilayah Felda berjumpa dengan setiap kerajaan negeri, insya-Allah bulan depan akan dapat maklum balas, setakat ini respon kerajaan negeri nampak positif,” katanya kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra Bersama Penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Laka Selatan, dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Muhamad Sanusi Md Nor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad.

Menurut Idris, setakat ini terdapat lebih 112,000 lot rumah Felda di seluruh negara dan jika cadangan itu diluluskan, generasi baharu Felda dibenarkan membina rumah baharu tetapi dengan pembiayaan sendiri.

“Pembinaan rumah itu pula tertakluk kepada majlis kerajaan tempatan dan prosedur kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri memberi jaminan akan sentiasa menyokong dan bekerjasama erat, dengan Felda.

Beliau berkata terdapat 10 tanah rancangan dengan jumlah 3,185 keluarga peneroka di Kedah.

Pada majlis sama, Muhammad Sanusi turut melancarkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) bagi Wilayah Alor Setar, dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi warga Felda.

Antara projek PPP yang akan dijalankan di wilayah itu ialah projek ‘Smart Fertigation Box’ bagi tanaman cili dengan kos RM2,000 yang ditanggung Felda bagi setiap peneroka terpilih.

Leave a Reply

%d bloggers like this: