Soh sasar catat tiga rekod dalam MBR

w
Soh Wai Ching

05/01/2021 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jan — Selepas memahat nama dalam Guinness World Records (GWR) tahun lepas, pelari menara negara Soh Wai Ching sedang berusaha untuk mengukir nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan mencatat masa terpantas bagi cabaran pendakian mesin tangga dalam tiga percubaan berbeza.

Pertama, beliau menyasarkan catatan masa terpantas untuk mencapai ketinggian Menara Berkembar Petronas; percubaan kedua adalah masa terpantas mencapai ketinggian 1,000 meter dan percubaan ketiga pula merekodkan pendakian tertinggi dalam masa satu jam.

Bagi mencapai sasaran itu, Soh perlu mencapai 2,194 langkah dalam tempoh bawah 25 minit bagi percubaan pertama, berlari sekurang-kurangnya 4,855 langkah di bawah 45 minit untuk percubaan kedua manakala untuk percubaan ketiga pula beliau perlu berlari lebih 4,500 langkah dalam masa satu jam.

“Tujuan utama untuk mencapai ketiga-tiga rekod itu adalah untuk mempromosikan sukan larian menara sebagai sukan berkesan yang menyatukan kekuatan, daya tahan dan kekuatan mental.

“Meskipun dilanda COVID-19, kekal cergas dan sihat adalah keutamaan buat kita semua. Kami juga menggalakkan budaya untuk berjaya dan mencipta rekod,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Technogym Malaysia hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia (MTA) Ravinder Singh berkata acara itu akan dianjurkan bersama dengan Technogym Malaysia yang juga penaja mesin pendakian tangga.

“MTA mahu menjadi yang terbaik di dunia dan kami sangat menggalakkan budaya untuk berjaya dengan mencipta rekod baharu serta menjayakan perkara yang mustahil dilakukan," katanya.

Pada 18 Nov lepas, Soh mencatat rekod dunia bagi cabaran pendakian tangga menegak selepas melakukan jarak larian 1.295 kilometer (km) dalam tempoh sejam, mengatasi rekod pelari Sepanyol, David Robles Tapia.

Leave a Reply

%d bloggers like this: