Gagal rayuan akhir, pemilik pusat asuhan ke penjara

06/01/2021 04:39 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan — Seorang pengusaha pusat asuhan kanak-kanak gagal dalam rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya kerana menganiayai seorang kanak-kanak kira-kira lapan tahun lalu.

Nurul Shahidatul Afzan Zainal, 37, yang bebas dengan ikat jamin, turut diperintahkan menjalani hukuman penjaranya selama lima tahun bermula hari ini oleh Mahkamah Rayuan di sini.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Jalil menolak rayuan Nurul Shahidatul serta mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang mendapati dia bersalah menggoncang bayi perempuan berusia tiga bulan dengan kasar, mengakibatkan bayi itu mengalami pendarahan dalam otak dan mata.

Wanita itu juga diperintahkan membayar pampasan RM40,000 kepada keluarga mangsa. Dia membayar wang tersebut.

Nurul Shahidatul memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya di Mahkamah Rayuan selepas rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 29 Ogos 2017.

Dalam keputusannya, Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, berkata berdasarkan bukti keseluruhan, kesemua elemen berjaya dibuktikan termasuk niat untuk mendera anak itu dengan menggoncangnya secara kuat, menyebabkan bayi tersebut mengalami kecederaan.

Beliau berkata kesalahan menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bukan liabiliti ketat, justeru elemen mens rea (niat) mesti dibuktikan.

Hakim juga berkata mahkamah turut mendapati ada bukti mencukupi sebagai asas untuk majistret memerintahkan Nurul Shahidatul membayar pampasan menurut Seksyen 426 (1) (a) Kanun Tatacara Jenayah.

Nurul Shahidatul didapati bersalah mendera kanak-kanak yang semasa kejadian berusia tiga bulan dengan menggoncang secara keras bayi itu di Pusat Jagaan Nur Kasih, Jalan USJ 1/4P, Petaling Jaya, pada 5.23 petang, 24 Feb 2012.

Menurut fakta kes, Nurul Shaidatul cuba memberi susu kepada bayi berkenaan namun mangsa enggan dan menangis. Wanita itu kemudian bertindak menggoncang bayi tersebut dengan kasar sehingga bayi itu tidak sedarkan diri.

Peguam Ramkarpal Singh dan Clement Ng Yen Han mewakili Nurul Shahidatul sementara Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron tampil bagi pihak pendakwaan.

Leave a Reply

%d bloggers like this: