Arab Saudi sahkan sudah berdamai dengan Qatar

06/01/2021 02:22 PM

RIYADH, 6 Jan (Bernama) — Arab Saudi pada Selasa mengesahkan sudah berdamai dengan Qatar dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk ke-41 telah membuka fasa baharu "solidariti" dan "kestabilan" antara negara-negara serantau, lapor Agensi Anadolu.

Bercakap pada sidang media di kota al-Ula, tempat sidang kemuncak berlangsung, Menteri Luar Faisal bin Farhan berkata Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir telah memulihkan hubungan diplomatik sepenuhnya dengan Qatar.

"Kebijaksanaan pemimpin Teluk mampu mengatasi semua perbezaan," katanya selepas sidang kemuncak itu. "Ada kemahuan politik dan keyakinan baik untuk memastikan pelaksanaan perdamaian."

Sidang kemuncak itu turut dihadiri Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, menandakan kejayaan dalam penyelesaian krisis yang bermula pada Jun 2017 ketika keempat-empat negara memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Mereka menuduh Qatar menyokong keganasan dan mencampuri urusan dalaman, namun dinafikan Doha.

Leave a Reply

%d bloggers like this: