Taliban ancam bertindak balas jika terus langgar perjanjian damai

04/01/2021 08:25 PM

KABUL, 4 Jan — Serangan udara yang disokong Amerika Syarikat (AS) ke atas Taliban di tenggara Afghanistan telah melanggar perjanjian damai yang dipersetujui di Doha dan boleh mengakibatkan serangan balas, kata jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid pada Isnin lapor Agensi Sputnik.

Serangan udara di wilayah timur Nangarhar pada awal Isnin itu menyebabkan 13 Taliban terbunuh, termasuk seorang tokoh pemimpin yang baru-baru ini dibebaskan di bawah perjanjian antara AS dengan kumpulan itu dan kerajaan Afghanistan.

"Sejak kebelakangan ini tentera Amerika sering melancarkan serangan udara terhadap Mujahideen Islamic Emirate di wilayah Nangarhar dan Helmand selain serangan oleh askar kerajaan di daerah Arghandab, wilayah Kandahar yang disokong tentera Amerika," kata Mujahid dalam kenyataan.

Serangan udara itu dilakukan di zon bebas tentera. Setiausaha AS Mike Pompeo sebelum ini pernah mengesahkan tiada serangan oleh pasukan AS selepas perjanjian dimeterai.

"Emirat Islam sekali lagi memberi amaran jika serangan udara dan operasi di Kandahar tidak segera dihentikan atau masih berterusan, Mujahideen Islamic Emirate akan bertindak balas dan Amerika perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku," tambah kenytaan itu.

Februari lalu di Doha, Qatar, Taliban dan kerajaan Afghanistan memeterai perjanjian yang diterajui AS, merintis jalan kepada rundingan damai.

Antara lain, di bawah perjanjian itu Taliban bersetuju mengurangkan serangan dan membebaskan 1,000 pegawai kerajaan yang ditawan, sementara Kabul komited membebaskan 5,000 tahanan Taliban.

Leave a Reply

%d bloggers like this: