Pusat pemindahan penuh, empat beranak tidur dalam kereta di Kota Tinggi

05/01/2021 10:30 AM

KOTA TINGGI, 5 Jan — Empat beranak terpaksa tidur di dalam kereta, selepas rumah mereka di Taman Kota Jaya, di sini dinaiki air setinggi betis awal pagi Ahad.

Zaliza Ali bersama seorang anak perempuan, dua anak lelaki serta seorang anak saudara perempuannya, mengambil keputusan tidur di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza miliknya, setelah gagal mendapat tempat di pusat pemindahan.

Beliau berkata, mereka pada mulanya telah ke pusat pemindahan di Taman Daiman terletak kira-kira 15 kilometer dari rumahnya, namun pusat pemindahan itu sudah penuh dengan mangsa-mangsa banjir dari pelbagai lokasi berdekatan.

Akibat keletihan kerana terpaksa berpatah balik ke Taman Kota Jaya, suri rumah berusia 40an itu kemudiannya nekad untuk tidur di dalam kereta dan memilih untuk bermalam di stesen minyak.

“Saya difahamkan setiap pusat pemindahan hanya boleh menampung beberapa keluarga kerana ada SOP (prosedur operasi standard) COVID-19. Selepas diberitahu pusat pemindahan di Taman Daiman penuh, saya berpatah balik ke Taman Kota Jaya.

“Memang tak selesa (tidur dalam kereta) sebab bila buka tingkap ada nyamuk, bila tutup tingkap, panas pula. Alhamdulillah, keluarga saya selamat dan boleh pindah ke pusat pemindahan di Taman Kota Jaya semalam,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan itu.

Zaliza berkata, tidur dalam kereta sewaktu banjir adalah pengalaman pertama mereka sekeluarga, apatah lagi suaminya kini berada di luar daerah atas urusan kerja.

“Pengalaman ini juga dapat mendidik anak-anak saya untuk menjadi lebih berdikari jika ditimpa kesusahan pada masa akan datang. Keputusan untuk kami berpindah ke pusat pemindahan atas sebab mahu menjaga keselamatan,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: