Politik wang – tarikan untuk lompat parti


© Provided by Free Malaysia Today Penganalisis berkata, UMNO dan PPBM berkongsi ideologi sama yang memudahkan PPBM merekrut…

PETALING JAYA: Seorang ketua bahagian PPBM mengakui terdapat cubaan merekrut ahli UMNO, selepas ditolak ahli PAS dan PKR.

Bagaimanapun, ketua bahagian itu tidak mendedahkan jika partinya menggunakan wang untuk merekrut ahli UMNO.

Katanya, politik wang mungkin bukan cara untuk partinya mengukuhkan kedudukan mereka.

Beliau berkata, partinya berharap dapat merekrut dalam pemimpin akar umbi UMNO kerana kebanyakan ahli PAS dan PKR menolak tawaran mereka, sedangkan PPBM dan UMNO berkongsi ideologi sama.

Katanya, ahli bahagian yang diabaikan kepimpinan UMNO menunjukkan minat untuk menyertai PPBM.

“Ada beberapa orang yang setuju menyertai PPBM, tetapi maklum balas yang kami terima setakat ini adalah akar umbi mungkin tidak mengikut jejak pemimpin tempatan mereka. PPBM adalah parti baru, untuk membina kesetiaan, ia memerlukan masa dan usaha. Kota Rom tidak dibina dalam sehari,” katanya kepada FMT.

Bagi tempat di mana pemimpin UMNO mengabaikan kawasan pilihan raya mereka, beliau berkata, mereka berjaya merekrut ahli, tetapi “kami tidak pasti jika mereka mampu menarik lebih ramai.”

Katanya, politik wang biasanya berlaku dalam tiga senario. Pertama, untuk mengukuhkan kerjasama di peringkat negeri dan persekutuan semasa pemilihan parti dan pilihan raya umum.

Beliau berkata, setakat ini, kebanyakan parti berusaha memperkukuhkan kerjasama di peringkat negeri-persekutuan.

Katanya, politik wang boleh merangkumi wang tunai, tanah, jawatan dan faedah istimewa.

Politik wang melemahkan perpaduan Melayu

Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, ada betulnya dakwaan politik wang digunakan untuk memikat pemimpin akar umbi UMNO ke parti lain.

“Ia boleh difahami bagi parti politik mencari ikon tempatan. Tetapi, mereka memerlukan dorongan. Ada betulnya juga (politik wang),” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PPBM sebaliknya perlu memikat ikon tempatan tanpa ikatan dengan UMNO untuk mengelakkan provokasi terhadap parti lama, tetapi strategi itu salah, walaupun ahli UMNO yang tidak berpuas hati mungkin menjadi sasaran mudah.

Katanya, semua perbincangan mengenai perpaduan orang Melayu antara UMNO, PPBM dan PAS sia-sia, sekiranya wang digunakan untuk memancing ahli melompat parti. Sebaliknya, ia hanya akan melemahkan gabungan parti pemerintah.

“Sangat menyedihkan wang digunakan untuk memikat pemimpin. Ini menunjukkan kurangnya kematangan politik.”

Perunding strategi politik, Syed Arabi Idid berkata sebagai parti nasional, PPBM perlu mengembangkan sayapnya dengan bantuan ahli politik berpengalaman di pelbagai kawasan.

“PPBM kemungkinan besar menyerang akar umbi UMNO. Oleh kerana PPBM mempunyai ideologi sama dengan UMNO, maka lebih mudah untuk mereka mendekati pemimpin UMNO,” katanya kepada FMT.

Namun, beliau berkata, ahli UMNO sebaliknya akan bertanya: “Apa gunanya kalau saya sertai anda?”

Syed Arabi dari Universiti Islam Antarabangsa berkata situasi itu membuka peluang kepada politik wang, tetapi ahli politik “tidak melihatnya sebagai politik wang, sebaliknya sebagai sebahagian daripada perbelanjaan mereka untuk mendapatkan pengundi.”

Katanya, walaupun politik wang mungkin dapat menarik perhatian sesetengah orang “atas pagar”, ia tidak dapat membeli kesetiaan kerana “orang mungkin akan mengambil wang anda dan tidak mengundi anda”.

Begitu juga, orang seterusnya yang tampil dengan wang tunai lebih banyak dapat memancing individu itu.

Leave a Reply

%d bloggers like this: